Siakap Keli

Monsun Barat Daya Dijangka Bermula 14 Mei, Banyak Kawasan Akan Terima Taburan Hujan Yang Rendah

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa Fasa Peralihan Monsun Barat Daya akan bermula pada 14 Mei 2022.

Fasa Peralihan Monsun ini dijangka berterusan hingga pertengahan September 2022. Sepanjang tempoh ini, kurangnya pembentukan awan hujan seterusnya menyebabkan taburan hujan yang rendah di kebanyakan tempat.

Menurut kenyataan MetMalaysia, kebanyakan tempat di seluruh negara akan mengalami bilangan taburan hujan yang rendah.

Bagaimanapun, hujan lebat dan angin kencang serta petir berikutan fenomena garis badai masih boleh berlaku di pantai Barat Semenanjung dan barat Sabah pada awal pagi.

Garis badai ini adalah garisan ribut petir yang terbentuk akibat penumpuan angin dan boleh berlarutan sehingga beberapa jam.

Dalam tempoh Monsun Barat Daya ini, fenomena jerebu boleh berlaku sekiranya ada insiden pembakaran terbuka tidak terkawal terutamanya semasa Ogos hingga Oktober.

Sehubungan dengan itu MetMalaysia menasihatkan orang ramai agar mengelak daripada melakukan pembakaran terbuka bagi mengurangkan kesan jerebu dan pencemaran alam sekitar. Bukan itu sahaja, orang ramai turut disarankan agar menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh ini.

Oleh itu, orang ramai dinasihatkan untuk berhati-hati dan sentiasa peka dengan amaran cuaca semasa yang dikeluarkan MetMalaysia.

Sumber: MetMalysia

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang