Seorang lelaki di Jawa Timur, Indonesia ditahan pihak polis kerana didakwa menetak rakannya sendiri. Kejadian ini berlaku pada Khamis lalu, 5 Mei 2022.
Difahamkan, suspek datang ke rumah mangsa pada hari tersebut dengan penuh emosi kemudian menghayunkan sebilah sabit yang dibawa ke arah mangsa.
Bagaimanapun, mangsa sempat mengelak dengan menunduk ke bawah, bagaimanapun sabit berkenaan terkena bahagian bahunya dan melantun. Setelah itu, suspek terus memukul wajah mangsa.
Menurut Kompas.com, penduduk yang tinggal berhampiran cuba untuk meleraikan pergaduhan di antara mereka berdua.
Ketua polis daerah tersebut, Idham Khalid berkata pergaduhan tersebut tercetus kerana masalah cat motosikal dan ejek mengejek antara satu sama lain.
Suspek yang beremosi akhirnya datang ke arah mangsa dengan sebilah sabit dan seterusnya mencetuskan pergaduhan. Oleh yang demikian, mangsa telah melaporkan hal ini kepada pihak polis.
“Suspek telah kami tahan 12 jam kemudian dan mangsa mengalami luka kecil di bahagian bahu akibat terkena sabit,” jelasnya, lapor Kompas.com.
Memetik Kompas.com, mangsa kini masih dirawat di hospital dan suspek berjaya ditahan serta turut merampas sebilah sabit yang digunakan mangsa.
Difahamkan juga, suspek didakwa dengan Pasal 351 ayat 1 KUHP (akta indonesia) kerana menganiaya.
BACA JUGA: Lelaki Ditahan, Tetak Isteri Berkali-Kali Guna Pisau Pemotong
Terdahulu, di Singapura, seorang wanita juga dilaporkan telah ditetak oleh suaminya dalam kejadian di Beach Road pada 14 April lalu, Khamis.
Memetik laporan TNP, wanita berusia 41 tahun itu telah dihantar ke hospital akibat kecederaan parah yang dialaminya.
Menurut TNP, Angkatan Pertahanan Awam Singapura berkata bahawa mereka telah menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian tersebut pada jam 5.30 petang hari kejadian.
“Siasatan awal mendapati lelaki berusia 46 tahun itu didakwa menyerang wanita itu menggunakan pisau pemotong.
“Sebelum ketibaan pegawai, lelaki itu dipercayai telah mengelar pergelangan tangan isterinya,” kata pihak Angkatan Pertahanan Awam Singapura.
Tambah pihaknya, lelaki itu kemudian telah ditangkap dan dihantar ke hospital dalam keadaan sedar.
Pisau pemotong yang digunakan dalam kejadian tersebut juga telah dirampas oleh pihak polis.
Sumber: Kompas.com