Siakap Keli
Gambar: AFP

Dua Kumpulan Gangster Di Haiti Lancar Perang Rebut Kawasan, 148 Maut Setakat Ini

Sekurang-kurangnya 148 orang dilaporkan terkorban, termasuk dua yang dibakar hidup-hidup, sejak dua kumpulan gangster melancarkan perang merebut kawasan di kawasan bandar Haiti.

Daripada jumlah berkenaan, 7 orang merupakan ahli kumpulan gangster yang dibunuh oleh ketua sendiri, dedah badan hak asasi manusia, RNDHH yang menyiasat tragedi berdarah tersebut.

RNDHH yang menyifatkan apa yang berlaku sebagai ‘pembunuhan kejam’ berkata, mangsa-mangsa yang terkorban menemui ajal dengan cara ditikam di dalam rumah, ditembak dan ada yang dibakar hidup-hidup bersama dengan tayar kereta. Manakala kebanyakkan mangsa wanita dan kanak-kanak perempuan dirogol terlebih dahulu sebelum dibunuh.

Pihaknya juga menemui sebuah kubur besar dengan 30 jasad, dipercayai mangsa-mangsa yang ditanam oleh salah satu kumpulan gangster yang terlibat. Selain itu, mayat-mayat juga ditemui dibuang di dalam telaga dan tandas-tandas awam.

Jumaat lalu, Petubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mendedahkan pihaknya menerima bukti pembunuhan melibatkan 75 orang mangsa dalam kejadian keganasan tersebut.

Setakat ini, sekurang-kurang 9,000 warga Haiti sudahpun melarikan diri daripada lokasi keganasan dan berlindung di bandar-bandar yang masih selamat, terutama di kawasan gereja dan sekolah.

Walaupun laporan keganasan dilapor menurun ketika ini, namun pemerhati berkata orang ramai masih bimbang untuk pulang kembali ke rumah sendiri buat masa ini.

Menurut rekod, kumpulan gangster memang diketahui berkuasa terutamanya di kawasan-kawasan luar bandar dan kejiranan miskin seperti di Port-au-Prince, namun pengaruh kumpulan-kumpulan ini semakin berkembang sekaligus menyebabkan kes-kes pembunuhan dan jenayah lain turut meningkat di Haiti.

Selepas dua minggu keganasan meletus, kerajaan Haiti dilaporkan masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung insiden tersebut.

Sumber: AFP

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.