Spesies ikan laut dalam yang sangat jarang ditemui dengan warna seakan-akan logam gangsa berkilau dikesan di ‘twilight zone’ atau zon senja.
Para saintis marin berjaya merakam ikan bersirip panjang (Bathophilus flemingi) pada kedalaman 980 kaki (300 meter) di Monterey Bay, Moss Landing, California.
Rakaman tersebut menunjukkan ikan itu berenang dengan gaya penuh ‘elegan’ dan lurus di dalam air seperti torpedo yang jatuh dari udara.
“Spesies ini amat jarang ditemui seperti ikan-ikan lain dan ia mempunyai sisik licin berwarna gangsa yang mampu untuk lakukan penyamaran daripada diburu.
“Walaupun ia merupakan salah satu perenang yang kuat, namun ia lebih kerap menunggu dan menyerang hendap ikan lain,” lapor Daily Mail.
Video itu dirakam oleh pakar dari Institut Penyelidikan Akuarium Teluk Monterey (MBARI) semasa ekspedisi mereka di atas kapal penyelidikan Western Flyer baru-baru ini.
Difahamkan, kapal tersebut merupakan kapal selam kendalian jauh (ROV) tanpa pemandu yang juga dilengkapi dengan kamera video berdefinisi resolusi ultra tinggi 4K.
Memetik Daily Mail, ROV telah turun ke dalam dasar laut ‘zon senja’ (juga dikenali sebagai zon mesopelagik) yang menjangkau 660 kaki (200 meter) hingga 3,300 kaki (1,000 meter) ke bawah.
“Zon senja bermula di mana hanya satu peratus cahaya dan berakhir di kedalaman yang tiada sumber cahaya langsung.
“Hanya terdapat sedikit sahaja sumber cahaya pada tahap itu sehingga hidupan marin terpaksa bergantung pada ‘siluet’ samar untuk memburu mangsa.
“Penyelidik MBARI telah melakukan pemerhatian beberapa ikan ‘dragonfish’ yang berbeza di kedalaman Teluk Monterey, tetapi yang ini antara paling ‘rare‘ ditemui.
“Menerusi lebih daripada tiga dekad penyelidikan laut dalam dengan rakaman video melebihi 27,600 jam, kami hanya melihat spesies unik seperti ini empat kali,” kata mereka dalam satu kenyataan, lapor Daily Mail.

Menurut para pakar, ikan ini boleh mencapai hingga 6.5 inci (16.5 cm) panjang, walaupun penyelidik tidak menangkap spesies ini untuk lakukan pengukuran dengan lebih tepat.
Seperti makhluk lain di ‘zon senja’, spesies ikan ini menggunakan helah pencahayaan balas, bermakna ia menggunakan cahaya untuk tutup bayangnya dan ‘sebati’ dengan persekitaran apabila ia perlu bersembunyi.
Menurut saintis kanan MBARI menerusi Daily Mail, Bruce Robison, warna gangsa metaliknya mampu menyerap sisa-sisa cahaya biru ketika turun ke dalaman laut menjadikannya hampir tidak kelihatan.
“Tapi, apabila kami suluh dengan cahaya putih ke arah ikan itu, ia kelihatan sangat cantik,” kata Robison kepada Live Science, lapor Daily Mail.
Dalam pada itu, taktik menjadi halimunan adalah helah terbaik bagi ikan ini hingga mangsanya tidak menyedari dan mampu menelannya dengan sekali serangan sahaja.
Selain itu, spesies ini juga mempunyai helah lain yang lebih menakjubkan untuk mengumpan pemangsa iaitu ‘filamen’ kecil yang memancarkan cahaya memanjang di bahagian dagunya.
“Dia menggunakan helah cahaya yang menyerupai bintik-bintik halus itu untuk menarik perhatian ikan lain yang berfikir ia sesuatu yang kecil untuk dimakan,” katanya lagi.
Siripnya juga mempunyai ‘filamen’ panjang, nipis seperti sayap yang boleh mengesan getaran di dalam air untuk beri amaran atau isyarat apabila pemangsa atau mangsa menghampirinya.
Di samping itu, saintis MBARI juga telah memerhatikan beberapa lagi spesies lain yang berbeza di kedalaman Teluk Monterey.
“Naga Hitam Pasifik (Idiacanthus antrostomus) dan ‘dragonfish‘ (Tactostoma macropus) adalah spesies yang biasa dilihat tetapi spesies lain amat jarang ditemukan,” lapor Daily Mail.
Sumber: Daily Mail