Siakap Keli
Gambar: CNN

Saintis Temui 60 Juta Ekor Ikan Di Laut Ais, Dipercayai Koloni Terbesar Di Dunia

Sebuah koloni pembiakan ikan dengan populasi 60 juta ekor ikan ditemui di lautan ais Antartika, tepatnya di Laut Weddell, sebuah ekosistem yang dikenali sebagai unik dan misteri.

Menurut CNN, koloni ikan tersebut dipercayai koloni terbesar di dunia yang menempatkan dari spesies Neopagetopsis ionah atau turut digelar ikan ais.

Ikan ais dikatakan mempunyai rangka dan darah lutsinar yang boleh dilihat dari luar. Ikan tersebut merupakan satu-satunya spesis haiwan bertulang yang tidak mempunyai sel darah merah.

Untuk membolehkan haiwan ini hidup dalam suhu sejuk ekstrem di Antartika, ikan ais mengembangkan protein antibeku dalam darah lutsinar yang terdapat di badannya bagi menghalang pembentukan kristal ais.

Koloni pembiakan ini ditemui pada bulan Februari 2021 oleh pengkaji polar German. Kumpulan penyelidik ini menggunakan sistem kamera sebesar sebuah kereta yang diletakkan pada ekor kapal untuk merakam keadaan di lantai laut.

Gambar: CNN

“Kami melihat satu demi satu sarang ikan dalam masa empat jam dan selama itu mungkin kami sudah meliputi enam kilometer bahagian dasar laut,” kata Autun Purser, salah seorang penyelidik di Institut Alfred Wegener di Jerman.

“Selama 15 tahun saya menjadi saintis maritim, saya tidak pernah tengok keadaan seumpamanya. Selepas penemuan tersebut, kami menghubungi pakar-pakar yang mengetahui perihal ikan seperti spesis ini. Jawab mereka, ya, ia boleh dikatakan unik,” tambahnya memetik laporan CNN.

Menurut kumpulan penyelidik, koloni ikan ais itu dikatakan meliputi 240 kilometer persegi. Secara purata, setiap tiga meter persegi kawasan tersebut diliputi sarang ikan ais. Diperkirakan sebanyak 60 juta sarang ikan ais yang masih aktif boleh didapati dalam koloni ini, lapor CNN.

Secara purata, dikatakan setiap sarang ikan ais yang berukuran 15 sentimeter (sm) dalam dengan luas diameter 75 sm mengandungi kira-kira 1,735 telur. Kebanyakan sarang di  Laut Weddell itu dijaga oleh seekor ikan ais dewasa. Sebilangan sarang dilaporkan hanya mengandungi telur manakala beberapa lagi tidak digunakan.

Sumber: CNN

" "