10 Negara 'Penyumbang' Gas Rumah Hijau Terbesar Dunia, Indonesia Di Tangga Kelima
Bila bercakap tentang pelepasan karbon, ramai mungkin terus terbayangkan asap kilang, kenderaan atau loji janakuasa.
Namun, pernah tak anda terfikir negara mana yang paling banyak menyumbang kepada pelepasan ini?
Adakah negara paling ramai penduduk semestinya berada di kedudukan teratas? Atau negara yang mempunyai banyak industri?
Menerusi perkongsian Visual Capitalist berdasarkan data pelepasan tahun 2025 daripada pangkalan data EDGAR milik Suruhanjaya Eropah, China mendahului senarai dengan jurang yang cukup besar.
Bagaimanapun, ada satu perkara yang perlu difahami. Walaupun sering disebut sebagai pelepasan “karbon”, senarai ini sebenarnya merangkumi gas rumah hijau secara keseluruhan, termasuk karbon dioksida, metana dan nitrus oksida.
Ini senarai 10 negara dengan pelepasan tertinggi gas rumah hijau 2025
Berikut ialah kedudukan negara berdasarkan jumlah pelepasan gas rumah hijau pada 2025, seperti dalam grafik tersebut:

China sahaja menyumbang hampir satu pertiga
Dengan pelepasan hampir 16 bilion tan setara karbon dioksida, China menyumbang sekitar 30.3 peratus daripada jumlah yang digunakan dalam perbandingan ini.
Jumlah itu kira-kira 2.7 kali ganda pelepasan Amerika Syarikat, yang berada di tempat kedua.
Lebih menarik, gabungan lima negara teratas, iaitu China, Amerika Syarikat, India, Rusia dan Indonesia, menyumbang hampir 58 peratus daripada keseluruhan pelepasan dalam grafik tersebut.

Bermakna, lebih separuh pelepasan berkenaan datang daripada lima negara sahaja.
Indonesia nombor berapa di Asia?
Indonesia mencatatkan pelepasan sekitar 1.36 bilion tan setara karbon dioksida, mengatasi Brazil, Iran dan Jepun.
Jika Rusia dikelompokkan bersama Eropah, Indonesia berada di kedudukan ketiga di Asia, selepas China dan India. Indonesia juga merupakan pelepas terbesar di Asia Tenggara dalam senarai ini.
Namun, pengelasan benua perlu diperjelaskan kerana Rusia merentasi Eropah dan Asia. Jika Rusia turut dimasukkan dalam perbandingan negara Asia, Indonesia berada di tangga keempat.
Malaysia Di Kedudukan Ke Berapa?
Dalam data berkenaan, Malaysia disenaraikan di kedudukan ke-29 dunia dengan kadar pelepasan gas hijau sebanyak 0.6 peratus.

Penduduk ramai bukan satu-satunya faktor
Jumlah penduduk memang membantu menjelaskan besarnya pelepasan sesebuah negara. Tetapi, penggunaan tenaga dan kegiatan perindustrian turut memainkan peranan.
Sebagai contoh, Arab Saudi menghasilkan lebih banyak pelepasan gas rumah hijau berbanding Pakistan walaupun jumlah penduduknya jauh lebih kecil.
Australia pula menghasilkan lebih dua kali ganda pelepasan Bangladesh, sedangkan penduduknya kurang daripada satu perenam penduduk negara berkenaan.
Perbezaan ini berkait dengan kebergantungan pada bahan api fosil, industri yang menggunakan banyak tenaga serta sumber tenaga yang digunakan oleh setiap negara.

