Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Ketawa Bersama Pasangan Boleh Jadi Rahsia Rumah Tangga Lebih Bahagia, Ini Sebabnya

Ketawa bersama pasangan
Gambar Hiasan

Pernah tak tiba-tiba teringat satu kejadian lucu bersama pasangan ketika mula-mula mengenali satu sama lain, kemudian kedua-duanya ketawa sampai keluar air mata?

Walaupun perkara itu sudah bertahun-tahun berlalu, kenangan kecil seperti itulah yang kadangkala mampu menghidupkan semula kemesraan dalam sesebuah hubungan.

Malah, gelak tawa yang dikongsi bersama pasangan bukan sekadar menceriakan suasana, sebaliknya boleh menjadi salah satu perkara yang membantu mengeratkan hubungan suami isteri.

Menerusi satu perkongsian di Facebook Public Health Malaysia, satu kajian yang melibatkan 77 pasangan mendapati bahawa pasangan yang lebih banyak ketawa bersama cenderung berasa lebih serasi dan mendapat sokongan emosi daripada pasangan masing-masing.

Ketawa Bersama Pasangan Boleh Jadi Rahsia Rumah Tangga Lebih Bahagia, Bukan Siapa Paling Kelakar, Tetapi Siapa Yang Ketawa Bersama

Kredit: Facebook Public Health Malaysia

Perkara yang menjadi perhatian bukanlah siapa antara pasangan yang paling pandai membuat lawak, tetapi sejauh mana mereka berkongsi saat tersebut.

Ketawa secara serentak boleh menjadi satu bentuk komunikasi tanpa kata yang menunjukkan kedua-duanya menikmati sesuatu pengalaman bersama.

Dalam kehidupan berumah tangga, perkara ini mungkin nampak kecil.

Namun, saat spontan seperti mengimbas kembali kenangan ketika bercinta, bergurau tentang perkara remeh atau menonton rancangan komedi bersama boleh mewujudkan rasa dekat antara pasangan.

Bagaimanapun, apabila usia perkahwinan semakin meningkat dan tanggungjawab semakin bertambah, tidak mustahil perbualan suami isteri mula tertumpu kepada urusan harian.

Daripada bertanya tentang hari masing-masing, perbualan mungkin lebih banyak berkisar tentang bil yang perlu dibayar, jadual persekolahan anak, barang dapur atau urusan kerja yang belum selesai.

Semua perkara itu sememangnya penting, tetapi pasangan juga memerlukan ruang untuk berbual tanpa memikirkan tanggungjawab dan masalah yang perlu diselesaikan.

Justeru, tidak salah sesekali meluangkan masa untuk mengimbas kembali kenangan lucu ketika mula-mula bercinta, berkongsi 'meme' yang menghiburkan atau menonton rancangan kegemaran bersama-sama.

Malah, gurauan spontan ketika berada di dapur atau dalam perjalanan pulang juga boleh menjadi peluang untuk mencipta kenangan baharu.

Hakikatnya, hubungan yang bahagia bukan bermaksud pasangan tidak pernah berselisih faham atau menghadapi masalah.

Sebaliknya, keupayaan untuk terus menikmati perkara kecil, bergurau dan ketawa bersama boleh membantu mengekalkan kemesraan walaupun sudah bertahun-tahun hidup sebumbung.

Kadangkala, kebahagiaan rumah tangga bukan terletak pada perkara besar yang dilakukan, tetapi pada saat sederhana apabila suami dan isteri masih boleh ketawa bersama seperti zaman mula-mula mengenali satu sama lain.

Intipati
  • Kajian melibatkan 77 pasangan mendapati ketawa bersama dikaitkan dengan keserasian lebih tinggi.
  • Gelak tawa serentak dilihat sebagai komunikasi tanpa kata yang menguatkan keakraban pasangan.
  • Pasangan digalakkan berkongsi momen santai untuk mengekalkan kemesraan dalam rumah tangga.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan