Siakap Keli
pelajar di jepun
Gambar Via Firstpost

Pelajar Jepun Muntah Dan Pengsan, Tersilap Teguk ‘Hand Sanitiser’ Semasa Sedang Lumba Lari

Seorang pelajar di Jepun dilaporkan muntah dan pengsan selepas tersilap meminum hand sanitiser semasa acara lumba lari dalam kejadian yang berlaku pada Isnin lalu.

Memetik laporan Mothership, penganjur perlumbaan itu telah tersilap menuang hand sanitiser ke dalam cawan dan kemudian meletakkannya di tempat minuman untuk para atlet.

Persekutuan Sukan Sekolah Menengah Yamanashi berkata cecair pembasmi kuman itu disimpan di dalam botol plastik yang tidak berlabel.

Botol itu kemudiannya diletakkan di dalam kotak kadbod bersama botol plastik berisi air minuman.

Menurut laporan, seramai tiga pelajar telah meminum hand sanitiser tersebut kerana mereka menyangka ia adalah air minuman.

Namun hanya seorang pelajar sahaja yang mengalami muntah dan pengsan, manakala dua yang lain meludahkan semula pembasmi kuman itu dan meneruskan perlumbaan.

Bagaimanapun, ketiga-tiga pelajar tersebut telah dihantar ke hospital dan dilaporkan semakin pulih.

Sementara itu, gabenor Yamanashi, Kotaro Nagasaki berkata bahawa siasatan pihak ketiga akan dilancarkan untuk mengetahui apa yang telah berlaku.

Beliau juga memohon maaf bagi pihak wilayah itu kepada pelajar yang telah pengsan.

Dalam pada itu, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS, menelan hand sanitiser yang mengandungi metanol boleh menyebabkan keracunan.

Antara gejala keracunan itu adalah termasuk loya, muntah, penglihatan kabur dan sakit perut.

Tidak cuma itu, metanol juga boleh menjejaskan sistem saraf pusat, menyebabkan kegagalan pernafasan atau peredaran darah dan juga kematian.

Sumber: Mothership

Sofea Shahira

There's always another side to every story

Editor: Aqmal Ezany
" "