Siakap Keli
Gambar Via Bernama

Tarikan Baharu Menanti Penggemar Aktiviti Lasak Di Escape Penang

GEORGE TOWN, 12 Mei (Bernama) — ESCAPE Penang menawarkan tarikan pelancongan terbaharu untuk penggemar aktiviti lasak dengan pelancaran Zip Coaster, iaitu tunggangan seperti roller coaster sejauh 1.1 kilometer yang merupakan terpanjang di dunia.

Zip Coaster itu turut dicatatkan dalam Guinness World Records, sekali gus menjadikan taman tema berkenaan sebagai destinasi bertema pertama dan satu-satunya di negara ini yang mempunyai dua catatan dalam rekod dunia itu termasuk gelongsor air terpanjang di dunia.

Yang Dipertua Negeri Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak berkata inovasi itu yang didorong oleh pemikiran global, adalah kunci kepada kejayaan pembangunan ekonomi Pulau Pinang, justeru syarikat lain yang berpangkalan di negeri itu diharap dapat mengikut jejak dalam membangunkan tarikan bertaraf dunia.

“Saya bangga melihat Sim Leisure Group telah memainkan peranannya dalam membawakan permainan terbaharu dan inovatif yang diiktiraf di peringkat antarabangsa ini, bagi sekali lagi menarik kedatangan pengunjung jauh dan dekat, yang dilihat penting lebih-lebih lagi dengan pembukaan semula sempadan negara selepas pandemik,” katanya pada majlis pelancaran di sini, hari ini.

Pemilik dan pengendali ESCAPE Penang, yang juga pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Sim Leisure Group, Sim Choo Khen berkata dalam mencipta tunggangan terbaharu itu, setiap usaha yang dibuat mengutamakan pemuliharaan persekitaran semula jadi Escape Penang, yang terletak di tengah-tengah kehijauan dan rimbunan pohon.

Beliau berkata antara keutamaan syarikat itu adalah untuk tidak menjejaskan kehijauan di dalam dan sekitar ESCAPE Penang, sebagai sebahagian komitmennya untuk memelihara persekitaran dan membolehkan pengunjung berinteraksi dengan alam semula jadi.

“Kami mula membina tunggangan ini sejak Jun 2020 dengan perbelanjaan hampir RM700,000. Kami berharap pelancong tempatan dan antarabangsa akan datang bagi merasai pengalaman luar biasa ini,” katanya.

Sempena pelancaran itu, ESCAPE Penang turut bekerjasama dengan dua jenama terkenal iaitu Captain Oats dan Travelodge, bagi menawarkan pengunjung pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

Melalui kerjasama itu, ESCAPE Penang akan mendapat manfaat daripada capaian luas Captain Oats di seluruh Asia dan Timur Tengah, dalam bentuk kerjasama promosi pasaran menerusi platform dalam talian dan luar talian

Travelodge pula telah dinamakan sebagai rakan hotel rasmi ESCAPE Penang bagi pelancaran Zip Coaster, dengan pengunjung layak untuk mendapatkan kadar penginapan istimewa di Travelodge Georgetown dan Ipoh, iaitu antara RM150 dan RM220 semalam.

Sumber: BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story