Wanita berusia 48 tahun dikenali sebagai Lhakpa Sherpa baru sahaja selesai mendaki Gunung Everest kali ke-10 sepanjang hidupnya.
Kejayaan wanita ini dikongsikan oleh abang kandungnya dan disahkan oleh pegawai Nepal, sekaligus menjadi wanita pertama yang berjaya menawan Gunung Everest sebanyak 10 kali.
Jelasnya, kali terakhir dia melakukan pendakian ke atas gunung dengan ketinggian 8,848.86 meter bersamaan dengan 29,031.69 kaki itu pada 2018 lalu.
“Saya rasa seperti impian saya menjadi nyata apabila berjaya menawan puncak Gunung Everest buat kali pertama.” katanya pada BBC sebelum pendakiannya bermula pada Khamis.
“Saya berbicara dalam hati, saya kini bukan lagi seorang suri rumah. Saya rasa seperti saya telah mengubah kehidupan sendiri. Malah saya juga seronok berada di luar rumah dan saya mahu berkongsi perasaan itu dengan semua wanita.”
Dikenali sebagai ‘Ratu Everest’
Menariknya, wanita ini sebenarnya menetap di kawasan pengunungan di sebuah kampung yang berada pada ketinggian 4,000 meter di atas paras laut di Wilayah Makalu di timur Nepal. Beliau berasal kumpulan etnik Sherpa iaitu keturunan Tibet nomad yang biasa mendiami kawasan tinggi.
“Saya dilahirkan di dalam gua. Malah, saya pun tidak tahu tarikh lahir saya. Apa yang saya tahu, dokumen pasport mengatakan saya berusia 48 tahun.”
Sepanjang usianya, selain menjadi suri rumah dia banyak menghabiskan masa bekerja sebagai petani dan menawarkan perkhidmatan mencuci pakaian kepada penduduk setempat.
Dibesarkan di kawasan pergunungan Everest
Apabila kampungya sendiri terletak di kawasan tanah tinggi dan berdekatan dengan gunung tertinggi di dunia, maka tak hairanlah wanita ini begitu teruja dapat melihat Gunung Everest setiap hari dan menyimpan impian untuk menawannya suatu hari nanti.
Pencapaian wanita ini bukan sahaja menjadi inspirasi kepada seluruh warga dunia, khususnya dalam kalangan pendaki wanita, malah ia turut dikagumi oleh anaknya sendiri.
Menurut anak gadisnya yang berusia 15 tahun, ibunya berjaya mencapai kejayaan peribadi yang begitu membanggakan biarpun lahir dalam keadaan serba sederhana dan tiada apa-apa.
Walaupun berjaya mencatatkan rekod mengagumkan, wanita ini masih hidup dalam serba kekurangan dan kejayaan menawan puncak Gunung Everest sebanyak 10 kali tidak memberikan apa-apa pulangan kemewahan seperti penajaan atau kemasyhuran buat dirinya buat masa ini.
Sumber: BBC