PETALING JAYA, 17 Mei (Bernama) — Seorang pengacara popular didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan khianat dengan merosakkan palang pagar pondok pengawal milik pengurusan sebuah perumahan di Damansara.
Pengacara itu telah mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.
“Saya mengaku tidak bersalah,” jawabnya yang memakai kot biru gelap ketika ditanya pengakuannya.
Personaliti televisyen itu didakwa melakukan khianat dengan merosakkan palang pagar milik Pengurusan Challis Damansara yang nilai kerugian dianggarkan RM600, di pondok pengawal Challis Damansara, Jalan PJU 3/30, Sunway Damansara, pada 11.30 pagi, 16 April lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari setahun dan tidak lebih dari lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Mohamed Wafi Husain menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.
Peguam Datuk M Reza Hassan dibantu Hamizah Sobree yang mewakili tertuduh memohon jaminan RM3,000 atas alasan pendapatan anak guamnya sebagai pengacara tidak konsisten.
“Anak guam saya menanggung isteri, dua anak serta ibu bapanya yang tua. Saya mohon jaminan yang ditawarkan oleh pendakwaan dikurangkan,” katanya.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Julai ini untuk sebutan kes.
Sumber: BERNAMA