Ruang televisyen (TV) sebuah rumah di Indonesia mengalami kerosakan teruk selepas terbakar, dipercayai berpunca akibat disambar petir dalam satu kejadian pada 16 Mei baru-baru ini.
Memetik Kompas.com, Ketua Balai Bomba Kota Bekasi, Indonesia, Aceng Solahudin menjelaskan, kebakaran berlaku di Jalan Eka Cipta, Desa Jati Rahayu, Daerah Pondok Melati di Bekasi.
“Kejadian yang terjadi pada jam 3.58 petang (waktu tempatan) itu dipercayai berpunca dari sambaran petir yang menyambar TV di dalam ruangan tersebut,” jelas Aceng dalam kenyataan, lapor Kompas.com.
Difahamkan, satu unit jentera bomba Ayaxx 24 dari cawangan Jatisampurna turut dikerahkan ke lokasi kejadian bagi misi memadamkan kebakaran marak tersebut.
Akibat kejadian itu, bilik TV milik mangsa bernama Supriyadi seluas 12 meter persegi itu mengalami kemusnahan teruk.
Menurut laporan, sepasukan anggota bomba tiba di sana sekitar pukul 4:10 petang dan api berjaya dipadamkan pada pukul 4:50 petang berikutnya.
Namun, Aceng telah mengesahkan bahawa tiada sebarang kecederaan mahupun kematian direkodkan berikutan tragedi malang itu.
Walau bagaimanapun, mangsa telah mengalami kerugian bernilai lebih kurang RM3,000.
Sumber: Kompas.com