Penyakit misteri yang dialami oleh Datuk Mohd Kazim Elias atau lebih mesra dipanggil Ustaz Kazim Elias (UKE) seperti yang didedahkan beliau sebelum ini, telah mengundang rasa simpati ramai.
Berdasarkan perkongsian video terbaru di Facebook, Ustaz Kazim berkata, beliau kini sedang dalam usaha mencari individu di Thailand yang menjadi ‘punca’ kepada keadaan yang dialaminya itu.
”Sahabat saya dari Thailand dah sampai dua hari lepas, jadi kita nak cari orang di Thailand yang disebut berkali-kali yang orang jumpa gambar saya di tempat rawatan dia,” katanya.
Beliau turut memberitahu bahawa beliau sanggup membayar berapa yang diminta demi kembali menjadi sihat semula.
”Nak pujuk dia supaya buangkan sihir dia supaya dengan izin Allah tak ada sihir lagi, berapa ribu nak pun kita bayar lah pada bomoh tadi untuk tarik balik apa yang dia buat,” katanya.
Kesan daripada kena sihir, Ustaz Kazim mendakwa bahawa luka muncul di bahagian wajah dan badannya selain wajahnya turut menjadi hitam dan tangan serta kaki turut mengecil.
”Dekat muka dah jadi hitam, kaki saya mengecil tangan saya pun mengecil, yang besar hanya perut sahaja sebab tu ramai orang kata (Ustaz Kazim) kena sihir puru katak,” katanya.
”Jadi, kena sihir daripada katak macam tuan-tuan tengok katak tu macam tu lah kaki katak jadi kecil, tangan katak kecil yang besar hanyalah perut, itulah saya,” katanya.
Tambah beliau, darah juga keluar di bahagian tubuhnya akibat penyakit tersebut.
”Dia jadi luka ikut suka, duduk saja-saja dia keluar darah meleleh, darah satu badan,” katanya.
Sementara itu, beliau turut menjelaskan mengenai isu gambar yang dimuat naik sebelum ini di mana telah mencetuskan kontroversi ramai.
Gambar tersebut dikatakan sekadar kesan makeup oleh juru solek dan bukan penyakit seperti yang didakwa oleh beliau.
”Takkan saya nak tunjuk benda aurat saya dalam Facebook, benda tu aib pada saya, kebetulan (juru solek) buat pada lengan saya (untuk filem) jadi saya masukkan,” katanya.
Jelas beliau, kesan daripada penyakit tersebut muncul pada bahagian perut dan peha yang tidak boleh didedahkan kepada umum.
”Takkan saya nak tunjuk keadaan di perut saya, di peha saya, hanya orang yang dekat sahaja yang tahu, anak-anak dan isteri.
”Ini bukan benda tipu cuma saya sorok pada orang, benda yang tak boleh disorok di muka jadi di muka ini penuh dengan foundation,” katanya.
https://www.facebook.com/ustazmohdkazim/videos/539793470879059
Sumber: FB Dato’ Ustaz Mohd Kazim Elias