Siakap Keli
Gambar: AFP

Hantar Permohonan Masuk NATO, Rusia Terus Henti Hantar Gas Asli Ke Finland

Susulan permohonan untuk menyertai NATO, Finland menerima kesannya apabila Rusia bertindak menghentikan penghantaran gas asli ke negara itu bermula hari ini selain keengganan untuk membuat bayaran dalam matawang Rubles.

Menurut laporan AFP, sejak bermulanya pencerobohan ke atas Ukraine, Rusia menetapkan bahawa semua negara yang dianggap ‘bukan sahabat’, termasuk negara-negara Eropah, perlu menjelas pembayaran minyak dan gas asli yang dibekalkanya menggunakan matawang Rusia. Langkah ini dipercayai diambil bagi mengurangkan tekanan sekatan ekonomi yang dikenakan oleh negara-negara Barat ke atas negara itu.

Gazprom, syarikat petroleum utama Rusia, dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah menghentikan sepenuhnya penghantaran gas asli selepas tidak menerima sebarang bayaran dalam matawang Rubles oleh syarikat petroleum Finland, Gasum. Syarikat itu memberi tempoh sehingga tamat waktu bekerja pada 20 Mei.

Rusia membekalkan kira-kira 1.49 bilion meter kubik gas asli ke Finland pada 2021. Ia merangkumi 2/3 jumlah penggunaan gas asli di negara itu. Bagaimanapun, gas asli hanya mewakili kira-kira 8 peratus penggunaan tenaga untuk Finland.

Gasum dalam pada itu berkata, pihaknya sudahpun bersedia dengan situasi tersebut dan memberi jaminan bahawa tiada gangguan bekalan gas asli akan berlaku. Syarikat itu akan medapatkan bekalan gas asli melalui saluran paip yang dihubungkan dengan Estonia dan memaklumkan semua stesen pembekalan gas asli akan beroperasi seperti biasa.

Terdahulu, Finland dan Sweden, memecah tradisi berkecuali dan tidak memihak kepada mana-mana pakatan tentera apabila menghantar permohonan untuk menyertai NATO. Ia susulan peningkatan kebimbangan dalam kalangan orang awam dan pemerintah akan kemungkinan insiden pencerobohan Rusia ke atas Ukraine boleh menimpa kedua-dua negara tersebut.

Harapan Finland dan Sweden untuk menyertai pakatan itu cerah selepas mendapat sokongan penuh daripada Amerika Syarikat. Bagaimanapun, penyertaan mana-mana negara baharu perlu terlebih dahulu mendapat sokongan daripada kesemua 30 ahli sedia ada. Turki, salah satu negara NATO sudahpun menyatakan bantahan terhadap penyertaan kedua-dua negara tersebut selepas tidak senang dengan toleransi yang ditunjukkan oleh Finland dan Sweden terhadap gerakan bersenjata Kurdish.

Rusia dalam pada itu memberi amaran bahawa tindakan kedua-dua negara itu menyertai NATO adalah satu kesilapan besar yang hadir dengan kesan yang tidak dapat dibayangkan.

Sumber: AFP

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang