Siakap Keli
chef ammar
Gambar via Facebook Chef Ammar

Chef Ammar Jelaskan Isu Caj Tambahan Pada Bungkusan Makanan

Umumnya, caj tambahan untuk ‘tapau’ makanan yang tidak dapat dihabiskan di kedai makan atau restoran biasanya akan dikenakan di sesetengah premis makanan, termasuklah di restoran makanan Arab yang popular pada Ramadan lalu milik Chef Ammar.

Menerusi akaun Facebook miliknya, tukang masak selebriti berdarah Palestin itu menjelaskan sebab kenapa caj itu dikenakan kepada setiap pelanggan yang mahukan makanan mereka yang belum habis dibungkus dan dibawa pulang.

Melalui penulisannya, dia menegaskan bahawa penyediaan bekas plastik merupakan penambahan kos dalam pengoperasiannya, termasuklah bekas-bekas kecil untuk kuah dan juga salad.

“Apabila kami mengenakan caj tambahan untuk bungkus bawa balik (take away), ramai yang ‘bersuara’.

“Tolonglah, bekas yang saya guna itu juga menggunakan duit (dan) kami terpaksa membuat lebih kerja untuk membungkus kesemua makanan yang dibungkus.

“Saya tidak ‘buat duit’ (untung) pun daripada bekas bungkusan itu. Harap anda faham kos makanan dan semua yang berkaitan. Terima kasih,” luahnya dalam kenyataan tersebut.

Difahamkan, tujuan beliau menulis dan memuat naik hantaran itu adalah untuk tidak mengeruhkan lagi keadaan dengan harapan para pelanggan memahami mengenai setiap kos yang diperlukan.

Seperti yang semua tahu, Chef Ammar dan menu nasi Arabnya menjadi buah mulut rakyat Malaysia pada Ramadan baru-baru ini hingga ramai yang sanggup beratur berjam-jam lamanya untuk membelinya.

Screenshot dari Facebook Chef Ammar

Sumber: Facebook Chef Ammar

Faiz Mustafa