Siakap Keli
krisis makanan
Gambar: BBC News

Apa Yang Boleh Kita Makan Pada Tahun 2050 Sekiranya Berlaku Krisis Makanan? Ini Pendedahan Pakar

Apa yang boleh kita makan pada tahun 2050 sekiranya berlaku krisis makanan bagi mengelakkan daripada mati kebuluran?

Perubahan iklim semakin jelas membawa kesan buruk serta meningkatkan risiko ‘kejutan makanan’ yang teruk, di mana banyak tanaman musnah akibat faktor cuaca yang tidak lagi ‘normal’.

Apabila banyak tanaman musnah, ia sekaligus membawa kepada peningkatan harga makanan ruji dengan cepat di peringkat global. Tidak kurang juga, krisis Russia-Ukraine turut mengeruhkan lagi keadaan ini.

Menurut satu perkongsian di BBC baru-baru ini, laporan pakar di Royal Botanic Gardens di Kew, London melaporkan sebanyak 90 peratus kalori dipercayai datang daripada 15 jenis tanaman.

Justeru, bagi mencapai usaha tersebut, kumpulan pakar berkenaan dilapor sedang mengumpul bahan-bahan untuk dijadikan ‘resipi’ diet yang boleh diamalkan pada masa depan kelak.

Gambar: BBC News

“Dengan mempelbagaikan makanan yang kita makan, ia adalah salah satu penyelesaian untuk mengurangkan kelaparan, menangani kehilangan biodiversiti dan membantu menyesuaikan diri dengan perubahan iklim,” kata seorang penyelidik, Dr. Sam Pirinon (gambar).

Selain itu, difahamkan daripada lebih 7,000 tumbuhan yang boleh dimakan di seluruh dunia, hanya 417 tanaman sahaja yang dilapor ditanam secara meluas dan digunakan untuk makanan.

Oleh itu, para saintis telah menyenaraikan beberapa jenis tumbuhan atau tanaman yang boleh menjadi menu makanan manusia ketika era krisis makanan pada tahun 2050 nanti seperti yang dilapor BBC di bawah.

Pandan

Gambar: Wikipedia

Pokok pandan atau nama saintifiknya Pandanus tectorius ialah pokok kecil yang tumbuh di sekitar kawasan pantai dari Kepulauan Pasifik hingga Filipina.

Daunnya boleh digunakan untuk memberikan hidangan menjadi lebih manis dan berperisa di kebanyakan tempat di Asia Tenggara.

Dikatakan, pokok pandan mampu menyesuaikan diri dengan keadaan mencabar seperti kemarau, angin kencang dan semburan garam.

“Ia adalah tanaman yang berdaya tahan iklim, berkhasiat dan juga lazat,” kata seorang lag penyelidik, Dr. Marybel Soto Gomez, memetik BBC.

Sekiranya pokok pandan boleh diperluaskan secara mampan tanpa mengurangkan sumber kepada penduduk tempatan, ia dipercayai harus dikembangkan secara meluas.

Kekacang

Kacang atau kekacang adalah salah satu ‘makanan masa depan’. Hal ini kerana ia murah, tinggi protein dan vitamin B. Tambahan pula, ia sesuai dengan pelbagai persekitaran dari pantai lautan hingga ke lereng bukit.

Kacang Moroma atau nama saintifiknya Tylosema esculentum adalah makanan asasi di Botswana, Namibia dan Afrika Selatan. Untuk pengetahuan, kacang ini boleh direbus dengan jagung  atau dikisar menjadi serbuk untuk dibuat bubur serta minuman seperti koko.

Gambar: BBC News

Terdapat 20,000 spesies kekacang di dunia, tetapi manusia hanya menggunakan sebilangan jenisnya saja. Dikatakan, terdapat ratusan jenis kacang liar lagi yang belum diketahui oleh saintis.

Bagaimanpun, tidak semua kekacang boleh dimakan, tetapi pakar sedang menyelidik lebih banyak kekacang lain sama ada ia mungkin menyediakan makanan dan nutrien yang bermanfaat.

Bijirin liar

Tahukah anda, menurut BBC, sebenarnya bijirin dipercayai berasal daripada rumput. Ia juga mempunyai pelbagai manfaat dan terdapat lebih daripada 10, 000 jenis bijirin di dunia.

Difahamkan, bijirin juga dipercayai dapat memberikan banyak kelebihan dan potensi untuk makanan baharu.

Fonio atau Digitaria exilis ialah bijirin yang berasal dari Afrika. Ia berkhasiat dan sering digunakan untuk membuat couscous, bubur dan minuman.

Bijiran biasanya ditanam secara meluas sebagai tanaman ruji di kebanyakan negara, selain turut memiliki daya tahan dengan keadaan kering.

Gambar: BBC News

Enset

Enset atau “pisang palsu” ialah sejenis buah yang dipercayai terdekat dan mirip dengan pisang, tetapi hanya satu kawasan di Ethiopia saja yang memakannya.

Dikatakan, batang dan akarnya mempunyai kanji yang boleh ditapai dan digunakan untuk membuat bubur dan roti.

Kajian mencadangkan tanaman seperti enset berpotensi untuk memberi makan kepada lebih 100 juta orang di dunia yang semakin diancam cuaca panas.

Gambar: BBC News

Gambar di atas menunjukkan perbezaan antara pisang biasa dengan enset atau pisang palsu.

Sumberr: BBC News

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?