Seorang ibu di Florida, US dikecam teruk gara-gara badan anak lelakinya yang baru berusia setahun didakwa dipenuhi tatu, lapor Oddity Central.
Ibu tersebut, 29, yang juga seorang pereka fesyen di West Palm Beach mula ‘meletakkan’ tatu sementara (temporary tattoo) pada badan anak lelakinya itu ketika seawal usia enam bulan.
Dikatakan, sejak dari itu, ia sudah menjadi kebiasaan dan ibu muda itu turut berkongsikan foto-foto anaknya bersama para peminat di media sosial.
Menurut Oddity Central, dia dilihat sering berkongsikan video dan gambar anaknya di medium TikTok dan Instagram miliknya.
Bagaimanapun, perkongsian foto anaknya itu membuatkan sesetengah orang tidak menyukai ideanya dan menyelar dirinya sebagai seorang ibu yang tidak bertanggungjawab.
Namun begitu, ibu kepada seorang anak itu menyatakan bahawa kecaman itu tidak akan menghalangnya daripada menjalani hidup dia dan anaknya.

Dalam gambar itu, kanak-kanak tersebut kelihatan seperti seorang superstar rap dengan tatu yang memenuhi badan dan lehernya.
Tetapi difahamkan, tatu yang diletakkan pada badan anaknya itu semuanya hanyalah bersifat sementara.
“Saya mendapat banyak kritikan, orang kata saya membesarkan anak saya sebagai ‘samseng’, mereka tidak biasa melihat bayi bertatu.
“Kritikan itu menyakitkan perasaan saya kerana saya tahu, saya bukanlah seorang ibu yang jahat,” kata ibu muda itu.
Memetik laporan Oddity Central, pada mulanya, wanita itu mengakui bahawa keluarganya sendiri mempunyai masalah dengan dirinya gara-gara tindakan tersebut.
Tetapi, selepas mereka melihat perbuatan tatu sementara pada badan kanak-kanak itu berjaya diubah menjadi minat dan sesuatu yang positif dan diikuti ramai, keluarganya mula menyokongnya.
“Apabila dia mengemukakan idea itu, saya kecewa dengannya, saya sangat menentangnya. Saya tidak mahu dia berbuat demikian dengannya.
“Tetapi setelah saya melihat dia membawa anaknya, saya tidak mempunyai masalah dengannya kerana ia sesuatu yang positif,” kata kakaknya.

Selain itu, wanita yang juga pereka fesyen dari Florida itu menegaskan bahawa anak kecilnya itu juga turut menyukai tatu untuk penggambaran gambar dan video.
Dilaporkan, anaknya sangat tertarik dengan perhatian orang ramai walaupun terdapat pelbagai reaksi negatif daripada sesetengah orang.
Katanya, dia tidak bercadang untuk mengubah gaya hidupnya dalam masa terdekat.
Sumber: Oddity Central