Siakap Keli
polis sita motosikal roda tiga
Gambar: Facebook Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara

Polis Sita 22 Buah Motosikal Roda Tiga Ditunggang Warga Asing

Polis Daerah Johor Bahru Utara sita 22 buah motosikal roda tiga yang ditunggangi warga asing dalam satu operasi khas di satu lokasi di Johor Bahru pada 8.30 pagi semalam.

Menerusi satu kenyataan, operasi khas tersebut melibatkan sepasukan pegawai dan anggota polis daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Johor Bahru Utara.

“Sepanjang operasi tersebut, pihak polis telah berjaya menahan sebanyak 22 buah motosikal roda tiga yang telah diubahsuai dan ditunggang oleh warga asing.

“Ketika pemantauan dibuat, mendapati penunggang motosikal roda tiga ini membawa barang-barang lusuh untuk dijual di kedai kitar semula dan menunggang secara bahaya serta mengganggu pengguna jalan raya yang lain,” maklum kenyataan itu semalam.

Dalam pada itu, sebanyak 54 saman telah dikeluarkan oleh pihak polis terhadap penunggang-penunggang motosikal berkenaan.

Difahamkan, 22 saman daripadanya dikeluarkan mengikut Seksyen 26 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana tiada lesen memandu.

Selain itu, 10 saman lagi dikeluarkan mengikut Seksyen 90 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana tiada perlindungan insurans kenderaan.

Manakala  22 saman selanjutnya pula dikeluarkan mengikut Peraturan 34 LN 170/59 Kaedah-kaedah Lalu Lintas 1959 kerana ubah suai struktur kenderaan.

“Kesemua 22 buah motosikal roda tiga turut disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Pihak polis menasihati orang ramai agar sentiasa mematuhi peraturan jalan raya demi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya dan mengelakkan sebarang risiko kemalangan jalan raya yang boleh meragut nyawa,” tambah kenyataan itu.

Gambar: Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara

Sumber: Facebook Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara

Iqbal Yasir

A wise man once said "Siuuuuu"

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.