Siakap Keli
scammer
Kredit: Bernama

Polis Berjaya Kesan Sindiket Latih Golongan Cari Kerja Jadi Scammer Di Johor

Johor Bahru – Satu sindiket yang aktif memanipulasi golongan pencari kerja dengan menawarkan gaji lumayan untuk menjadi ahli scammer telah berjaya dikesan di Johor.

Ketua Polis Negeri Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kegiatan itu dapat dihidu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) setelah menerima laporan daripada salah seorang mangsa yang mendakwa telah menghadiri sebuah temu duga yang dikendalikan sindiket berkenaan sekitar bandaraya baru-baru ini.

Katanya, hasil siasatan yang dilakukan, pihaknya telah berjaya menahan lima individu pada awal minggu ini untuk membantu siasatan.

“Sekarang ini ada sindiket yang menawarkan peluang pekerjaan, namun apabila dipanggil temu duga dan sebagainya, diterima kerja lalu dibawa ke satu tempat untuk dijadikan sebagai scammer.. (sindiket ini) tak boleh lari, dalam tindakan kita,” kata beliau.

Ketua Polis itu berkata sedemikian ketika ditemui pada Program Pencegahan Jenayah dan Bual Bicara Ketua Polis Johor bersama pengusaha kilang serta wakil komuniti daerah Seri Alam, Pasir Gudang di sini, hari ini.

Tambah beliau, sebanyak 1,242 kes penipuan pelbagai jenis dicatatkan di negeri itu sejak Januari hingga Selasa lalu. jenayah itu turut merekodkan jumlah kerugian hampir RM139.3 juta sepanjang tempoh berkenaan.

Majoriti kes yang dilaporkan menggunakan platform media dan panggilan telefon sebagai modus operandi bagi sindiket penipuan.

“Kebanyakan scam yang berlaku di Johor sama sahaja dengan di seluruh negara. Scam yang ini semuanya melibatkan penipuan yang menggunakan elemen media iaitu media sosial dan sebagainya yang perlu dielakkan oleh masyarakat”, ujar beliau lagi.

Baca: Duka Isteri Menghadap Ilahi, Pakcik Ni Kerap Masuk Kebun Untuk ‘Luah Perasaan’

Sumber: Awani

Nurfatihah Shahirah Azzuddin