Pengendali baharu Manchester United (MU), Erik Ten Hag menghamburkan puji – pujian kepada Harry Maguire, kapten kesayangan peminat MU dan menganggapnya sebagai seorang pemain yang hebat. Malah, beliau dengan jelas memahami bakat yang dimiliki oleh pemain pertahanan termahal di dunia itu.
”Saya perlu menegaskan sekali lagi bahawa musim depan adalah musim yang berbeza tetapi saya berpendapat dia sudah melakukan tugas yang baik.
”Dia adalah pemain yang hebat dan sudah pun mengecapi banyak kejayaan. Begitu juga dengan sumbangannya kepada kelab ini. Saya tidak sabar untuk bekerjasama dengannya di musim depan,” kata Ten Hag.
Dalam temubual yang sama, beliau turut memaklumkan bahawa Cristiano Ronaldo berada dalam perancangan untuk aksi musim baharu nanti.
Bagaimanapun beliau memaklumkan bahawa perbincangan mengenai perancangan masa depan itu akan dibincangkan dengan Ronaldo terlebih dahulu sebelum didedahkan kepada media. Namun begitu, Ten Hag berkata Ronaldo boleh menyumbang banyak gol untuk skuad kendaliannya nanti.
Menyentuh mengenai bekas pemain asuhannya, Donny van de Beek yang dibeli MU daripada Ajax Amsterdam pada 2020, Ten Hag berkata beliau tidak sabar untuk bekerjasama dengan pemain itu diatas padang sekali lagi.
MU membeli van de Beek selepas pemain berkenaan mempamerkan aksi yang sungguh mengagumkan pada musim 2018/19 bersama dengan Ajax dibawah pimpinan Ten Hag sehingga berjaya mara hingga pusingan separuh akhir Liga Juara-juara Eropah pada musim berkenaan.
Bagaimanapun, ketibaannya di MU tidak seperti yang diharapkan apabila banyak menghabiskan masa di bangku simpanan biarpun ramai pemerhati berpendapat pemain ini wajar diberikan lebih banyak minit permainan oleh jurulatih MU yang terdahulu.
Van de Beek kemudian dipinjamkan ke Everton pada pertengahan saingan EPL musim ini dan berjaya menjaringkan gol menentang Arsenal dalam perlawanan terakhir liga. Beliau dijangka akan kembali memperkuatkan skuad MU untuk aksi musim depan.
BACA: Bimbang Ayah Kahwin Lagi, Adik Ni Minta Ibu Buang Ayahnya Dalam Tong Sampah
Sumber: Manchester United