KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) — Percubaan sulung dua artis tempatan, Hans Isaac dan Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad atau lebih dikenali sebagai Altimet untuk mencuba nasib untuk melangkah jauh dalam pentas politik tanah air nampaknya menemui jalan buntu apabila kedua-dua mereka ketinggalan dari segi undi dalam Pemilihan PKR 2022.
Menurut keputusan tidak rasmi yang dikemas kini melalui laman sesawang Pemilihan Keadilan 2022, mereka berdua yang bersaing bagi jawatan Ketua Cabang Ampang masing-masing hanya memperoleh 609 dan 589 undi sekali ketinggalan kepada Daing Muhammad Reduan Bachok yang memperoleh 942 undi.
Pemilihan PKR kali ini turut menyaksikan kejutan apabila Ketua Penerangan PKR Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin hanya memperoleh 379 undi berbanding pencabarnya, Mohd Rafee Ibrahim (488 undi) dalam merebut jawatan Ketua Cabang Hang Tuah Jaya
Ahli Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul juga ketinggalan pada pemilihan kali ini bagi jawatan Ketua Cabang Sungai Petani kepada Ooi Tze Min dengan perbezaan 103 undi.
Sementara itu, Rafizi Ramli yang juga calon Timbalan Presiden PKR mendahului dalam usaha mempertahankan jawatan Ketua Cabang Pandan dengan meraih 548 undi, mengatasi pencabarnya Mohamad Rashidi Hassan (373) dan Adnan Jaaffar (121).
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari juga mendahului untuk mempertahankan jawatan Ketua Cabang Gombak apabila memperoleh 1,858 undi, berbanding Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak (bekas Setiausaha Politik kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang mendapat 1,215 undi.
Di Negeri Sembilan, Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun yang julung kali bertanding bagi jawatan Ketua Cabang Port Dickson mendahului dengan memperoleh 1,129 undi berbanding pencabarnya Ravi Munusamy (951) dan Sevalingam Birasami (477).
Beliau pernah menyandang jawatan Ketua Cabang Tampin sejak 2018 dan Naib Ketua Cabang Seremban sebelum itu.
Sementara itu, percubaan pertama Ahli Parlimen Simpang Renggam Maszlee Malik bertanding Ketua Cabang kawasan parlimen berkenaan nampaknya seakan membuahkan hasil apabila meraih 109 undi mengatasi pencabarnya Faizul Abdul Ghani yang mendapat 66 undi.
Setakat 5 petang ini, tujuh negeri sudah mengumumkan keputusan pemilihan PKR iaitu Kedah, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Kelantan, Sabah dan Johor.
Sumber: BERNAMA