Penting, anda perlu mohon Electronic Travel Authority (ETA) terlebih dahulu sebelum melancong ke Australia.
Selepas lebih dua tahun, ketika ini pasti ramai yang merancang untuk melancong ke luar negara setelah kebanyakan sekatan telah dilonggarkan. Salah satu destinasi popular yang menjadi perhatian ramai adalah Australia.
Manakan tidak, negara tersebut mempunyai pelbagai tarikan termasuk pemandangan yang sangat mengujakan.
Bagaimanapun, ada beberapa proses yang perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum mula berangkat ke negara itu.
Bagi yang belum tahu, anda perlu mendapatkan visa elektronik atau Electronic Travel Authority (ETA) apabila ingin mengunjungi negara tersebut.
Apa itu ETA?
Untuk pengetahuan, maklumat dalam ETA disimpan secara elektronik dan ia setara dengan visa yang dikaitkan dengan nombor pasport. Jika pasport anda telah berubah, anda perlu memohon ETA yang baharu.
ETA membenarkan pemegang pasport yang layak untuk melawat Australia bagi tujuan pelancongan atau lawatan keluarga serta perniagaan dengan tempoh 90 hari (3 bulan) atau kurang.
Ia boleh diperolehi dengan cepat dan mudah secara dalam talian walaupun anda tinggal di negara lain ketika permohonan.
Tidak dibenarkan bekerja
Rakyat Malaysia tidak dibenarkan bekerja di negara tersebut dengan menggunakan ETA.
Jika anda pergi ke sana untuk bekerja, anda perlu mendapatkan visa bekerja serta visa cuti bekerja yang terpakai untuk rakyat Malaysia di bawah umur 30 tahun.
Namun, visa bekerja dan visa cuti bekerja tidak boleh diperoleh dalam talian, anda perlu menghubungi kedutaan Australia yang terdekat untuk memohon.
Syarat-syarat untuk mendapatkan ETA
Antara syarat untuk mendapatkan ETA adalah anda perlu mempunyai pasport Malaysia yang sah, dengan sekurang-kurangnya satu halaman kosong tersedia untuk setem kemasukan.
Tidak cuma itu, anda perlu menggunakan kad debit atau kredit yang sah atau dibenarkan untuk pembayaran dalam talian bagi membayar caj ETA selain perlu menyediakan alamat e-mel untuk menerima ETA.
Anda juga tidak boleh mempunyai rekod jenayah dengan kesalahan serius dan tiada sabitan yang melibatkan hukuman penjara 12 bulan atau lebih.
Selain itu, pastikan anda tiada masalah kesihatan yang boleh menimbulkan risiko awam dan tidak memerlukan rawatan perubatan yang mahal di Australia.
Syarat pasport untuk mohon ETA
Anda dikehendaki memohon visa Australia menggunakan pasport yang sama yang akan ditunjukkan di pintu masuk di Australia.
Bagi yang mempunyai lebih daripada satu kewarganegaraan pula, anda hanya boleh memohon ETA dengan menggunakan pasport Malaysia atau pasport warganegara lain yang layak (Amerika Syarikat, Kanada, Jepun, Korea Selatan, Brunei, Hong Kong dan Singapura).
Cara mohon ETA dari Malaysia
Boleh memohon secara dalam talian, anda hanya perlu mengisi maklumat peribadi seperti nama, tarikh lahir dan kewarganegaraan.
Selain itu, anda juga harus mengisi butiran asas pasport dan menjelaskan sebab perjalanan ke Australia serta menjawab soalan berkaitan kesihatan dan keselamatan.
Selepas memohon, anda boleh memeriksa status permohonan menggunakan nombor tracking yang dihantar ke dalam e-mel.
Dalam masa 24 jam sahaja, anda akan mendapat ETA tersebut.
Jika ia mengambil masa yang lama, mungkin ia dilakukan ketika cuti umum atau terdapat kesilapan pada borang permohonan.
Perlu ditegaskan bahawa kelewatan menerima ETA boleh berlaku walaupun disebabkan oleh kesilapan ejaan dan percanggahan antara butiran dalam permohonan dan pasport.
Jika semua maklumat dalam borang tidak sepadan dengan pasport, anda mungkin tidak akan dibenarkan masuk ke sempadan Australia.
Sumber: Australia Online Visa