Penerbit filem berketurunan Orang Asli, Kelvin Redvers tidak dibenarkan berjalan di atas karpet merah di Cannes Film Festival untuk tayangan perdana filem Valeria Bruni Tedeschi’s Les Amandiers kerana pakai kasut Orang Asli.
Mengetahui akan ada banyak orang memerhati di acara tersebut termasuklah ‘paparazi’, dia mengambil peluang untuk mengetengahkan identiti dan budaya keturunan suku kaumnya dengan memakai sepasang kasut tradisional moccasins.
“Saya berharap dapat memakai sesuatu yang dianggap formal dalam budaya keturunan kami, jadi saya pilih untuk pakai sepasang kasuk moccasins yang dibuat khas oleh kakak saya.
“Saya sangat teruja untuk pakai kasut itu di acara tersebut,” jelasnya, lapor Variety.
Bagaimanapun memetik Vogue, belum sempat melangkahkan kaki ke atas karpet merah festival itu, dia dihalang oleh pihak pegawai keselamatan daripada masuk dan meminta untuk menukar kasutnya terlebih dahulu.
Menurut Redvers, dia berasa telah diperlakukan seperti seorang penjenayah hanya kerana memakai sepasang kasut moccasins yang diperbuat dari kulit moose dan dihiasi dengan sedikit manik.
Selepas dihalang berjalan di atas karpet merah, salah seorang rakan kerja Redvers ‘bertikam lidah’ dengan pihak pegawai keselamatan bahawa sepatunya pemakaian dari budaya perlu pengecualian di Cannes.
Menurut Vogue, Redvers dibenarkan melalui karpet tersebut setelah menukar kasut yang dipakai kepada kasut formal yang biasa dipakai setelah mereka dihalau oleh pegawai keselamatan yang agak agresif.
Bagaimanapun difahamkan juga, penganjur festival besar-besaran itu telah meminta maaf kepada Redvers atas tindakan menghalangnya daripada memasuki ke festival hanya kerana kasut ‘tidak mematuhi etika’.
Difahamkan, ini bukanlah kali pertama festival tersebut menghalau tetamu kerana tidak mematuhi etika berpakaian rasmi yang sangat ketat dengan betul. Selain menguatkuasakan kod pakaian bertali leher hitam, festival ini juga menitikberatkan pemilihan kasut.
Terdahulu, festival ini menolak pemakaian ‘flat shoes’ dan hanya membenarkan kasut bertumit tinggi kepada wanita hingga bintang terkenal, Julia Roberts dan Kristen Stewart bertindak berjalan dengan ‘kaki ayam’ di karpet merah suatu ketika dahulu.