Siakap Keli
influencer jelajah dunia bersama anjing
Gambar via Daily Mail

Terkorban Dalam Kemalangan, Impian ‘Influencer’ Nak Jelajah Dunia Bersama Anjing Kesayangan Akhirnya ‘Terkubur’

Impian seorang influencer Instagram untuk menjelajah dunia musnah selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya bersama anjing kesayangannya hingga meninggal dunia.

Jessie Koz yang juga merupakan seorang ‘influencer’ di aplikasi Instagram dilaporkan maut dalam sebuah kemalangan bersama seekor anjing miliknya sebelum sempat menunaikan impiannya untuk menjelajah dunia.

Menurut Daily Mail, dia ‘membawa’ impian untuk mengembara dari negara asalnya, Brazil merentasi benua Amerika untuk sampai ke Alaska, namun akhirnya ‘terkubur’ akibat kemalangan tersebut.

Difahamkan, perjalanannya hanya berbaki dua hari sahaja lagi untuk sampai ke destinasi impiannya. Malangnya, pada Isnin 23 Mei baru-baru ini Koz dan anjingnya terlibat dalam kemalangan dan dilaporkan kedua-duanya meninggal dunia di tempat kejadian.

Selain itu, pemandu lain yang turut terlibat dalam kemalangan itu, Eileen Huss, 62, dibawa ke hospital untuk dirawat. Manakala, seorang lagi yang dipercayai kanak-kanak berusia dua tahun tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

Permulaan pengembaraan Koz

Imbas kembali, Koz telah mula mengembara sejak tahun 2017 lagi namun terhenti seketika disebabkan oleh pandemik Covid-19 yang menghalang dari merentasi sempadan Mexico – Amerika Syarikat hingga memaksanya untuk kembali ke Brazil pada 2020.

Dia mulakan perjalanan itu bersama dengan anjingnya yang diberi nama ‘Shurastey’ yang suka bermain sambil diiringi lagu yang hit dari kumpulan The Clash, ‘Should I Stay or Should I Go’.

Pada Januari lalu, dia memulakan semula perjalanan yang tertangguh dan kembali ke Mexico bertemu semula dengan kereta yang sama digunakan suatu ketika dulu, Volkswagen Bettle yang dinamakan sebagai ‘Dodongo’ .

“Kami meninggalkan Mexico pada September 2020 dan bercadang untuk berada di Barzil hanya untuk empat bulan sahaja dengan harapan sempadan Mexico – AS akan dibuka semula.

“Tapi, penantian demi penantian, masih tidak ada khabar berita bahawa hal itu akan berlaku. Bulan demi bulan dari jangkaan semakin berkurang dan impian untuk meneruskan perjalanan bersama Bettle seakan ‘suram,” jelas Koz satu ketika dulu, lapor Daily Mail.

Koz juga telah menyeberang negeri Nuevo León di timur laut Mexico ke Texas pada 9 Februari dan kemudian melawat Pusat Angkasa NASA di Hauston sebelum menuju ke Louisiana. 

Matahari terbenam yang terakhir

Pada 10 Februari, dia berehat seketika menyaksikan matahari terbenam bersama Shurastey yang merupakan teman baiknya selama enam tahun, mengimbau kembali detik-detik yang mereka kongsikan bersama dan masa depan yang menanti.

“Saya beritahu kepadanya betapa pentingnya Shurastey untuk saya dan perjalanan sejauh ini tidak akan terjadi tanpanya yang sentiasa menemani saya. Shurastey hanya senyum sambil menjelirkan lidahnya.

“Menikmati permandangan matahari terbenam dengan ditemani oleh ‘rakan’ adalah momen yang sangat ‘mahal’, walaupun saya tahu kami masih banyak masa untuk diluangkan bersama dan akan menyaksikan lagi matahari terbenam untuk kali yang terakhir,” jelasnya lagi, lapor Daily Mail

Pengembaraan ini membawa mereka melalui Mississippi sebelum sampai di Florida, di mana dia bertemu dengan idola zaman kanak-kanaknya, iaitu pemandu Formula 1 Brazil, Rubens Barrichello.

Pada April lalu, pengembaraan Koz membawa mereka berdua ke bahagian Pantai Timur termasuk persinggahan di Washington di mana dia mengambil gambar di Capito dan meneruskan perjalanan ke Times Square di New York City.

Dia juga menuju ke utara untuk berkunjung ke Air Terjun Niagara dan terkejut dengan ribut salji yang melanda kawasan tersebut ketika itu.

Kemudian, Koz dan Shurastey dengan ‘Dodongo’ menuju ke barat menyeberangi Illinois, Missourui Kansas dan juga Arizona tempat mereka berkhemah berhampiran Grand Canyon sebelum meneruskan perjalanan ke California.

Di atas Jambatan Golden Gate, Koz meluahkan rasa ‘bebas’ yang dirasainya mengembara ke seluruh dunia.

“Tidak ada kebahagiaan tanpa kebebasan dalam dunia ini dan saya telah mengeluarkan banyak duit hanya untuk merealisasikan impian ini.

“Saya keluar dari ‘penjara’ kehidupan lama di mana orang lain yang mengatur hidup saya dan kini saya mempunyai kebebasan untuk memilih apa yang saya inginkan,’ katanya lagi, lapor Daily Mail

Tempoh hari, Koz sempat berkongso foto Beetle lamanya yang masih lagi berfungsi dengan baik diletakkan di tengah-tengah tapak perkhemahan di Grants Pass bersama khemah tempat dia tidur dipasang di atas kereta.

“Hai kawan-kawan, sudah tiba masanya untuk saya memasuki Kanada dan seterusnya akan ke Alaska.

“Cuaca telah mula dingin di kem sejak dari semalam dan sekarang ia menjadi lebih sejuk. Tetapi, perkara baik tentang perkhemahan adalah bagaimana kita menahan diri dari suhu negatif dan mengekalkan kehangatan suhu dalam badan,” tulisnya dalam bahasa Portugis, lapor Daily Mail.

Sumber: Daily Mail

Faiz Mustafa

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.