Siakap Keli

Influencer Tiktok Dan Instagram : Cemerlang Akademik, Dakwah Tanpa Batas

“Dunia kini semakin tenat.” Kerisauan ini yang menjadi pembakar semangat Fadhilatun Nisa binti Mohamed Shaik Jamaludin yang merupakan seorang mahasiswi penerima biasiswa PETRONAS 2017 untuk menjadi sukarelawan aktif di bawah sebuah pertubuhan bukan kerajaan, YOSH MyFundAction. Beliau menekankan bahawa hidupnya sebagai seorang hamba Allah bertujuan untuk melakukan ibadah, termasuklah setiap kerja kesukarelawanan yang diceburinya untuk menjadi manfaat kepada masyarakat.

Setelah dianugerahkan Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017 Pulau Pinang, Fadhilatun Nisa meneruskan kecemerlangannya di Universiti Teknologi PETRONAS dalam bidang Kejuruteraan Elektrikal Elektronik. Beliau melihat media sosial seperti aplikasi Instagram dan TikTok sebagai wahana yang sesuai untuk menyebarkan pesanan kebaikan kepada generasi muda kini. Mencecah 87.6 ribu pengikut di aplikasi TikTok, Fadhilatun Nisa menjadi ikon dakwah kepada para remaja yang wajar dicontohi.

Selain mempunyai jadual yang sibuk sebagai seorang sukarelawan dan content creator di Tiktok, beliau juga mendapat keputusan yang cemerlang dalam akademiknya apabila berjaya mendapat 4.00 dalam semester lepas. Beliau amat bersyukur kerana mendapat bimbingan yang penuh dari mentor YOSH MyFundAction, Ustaz Ahmad Umair bin Zulkefli, yang juga merupakan Pengurus MyFundAction Perak sejak beliau belajar di peringkat asasi lagi. Sejak berkecimpung dalam bidang kesukarelawanan bersama YOSH MyFundAction, beliau dapat mengetuai pelbagai projek di peringkat antarabangsa seperti International Youth Influencer Convention yang melibatkan peserta dari seluruh negara iaitu Mesir, New Zealand, Indonesia dan Jepun. Sebagai seorang penerima biasiswa PETRONAS Education Sponsorship Program (PESP), dia juga tidak pernah lupa untuk mementingkan akademiknya untuk mencapai cita-citanya sebagai seorang ahli perniagaan pada masa akan datang.

Fadhilatun Nisa disifatkan sebagai seorang mentor yang bersemangat tinggi dan prihatin terhadap semua mentee yang dibimbingnya. Perkara ini dapat dibuktikan daripada pendapat seorang mahasiswi Universiti Teknologi PETRONAS yang cemerlang dengan pencapaian gred purata tertingginya sebanyak 3.97, Nurul Humairah Binti Wadingasafi menekankan betapa banyak ilmu yang telah dipelajari sepanjang berada di bawah bimbingan Fadhilatun Nisa. “Sekecil-kecil aspek dalam kehidupan, seperti pembelajaran, sudah solat Tahajjud atau solat Dhuha, berapa banyak muka surat Al-Quran yang dibaca, semua Kak Nisa akan ambil tahu walaupun schedule Kak Nisa penuh,” tegas Humairah. Jelaslah, Fadhilatun Nisa wajar dijadikan role model remaja kini untuk melahirkan pemimpin yang berkaliber pada masa yang akan datang.

Siti Fatimah