Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Betul Ke Melontar Jamrah Itu Membaling Syaitan? Ini Penjelasan Bahagian Dakwah JAKIM

Membaling Jamrah
Kredit: Bernama

Betul Ke Melontar Jamrah Itu Membaling Syaitan? Ini Penjelasan Bahagian Dakwah JAKIM

Ibadah haji merupakan salah satu rukun Islam yang wajib dilaksanakan oleh setiap umat Islam yang berkemampuan.

Setiap tahun, jutaan umat Islam dari pelosok dunia berkumpul di Tanah Suci Mekah bagi menunaikan ibadah ini dengan penuh keikhlasan dan pengabdian kepada Allah SWT.

Haji bukan sekadar perjalanan fizikal, malah menjadi perjalanan rohani yang menguji kesabaran, pengorbanan dan kekuatan iman seseorang.

Selain itu, ibadah haji juga merangkumi rukun haji dan perkara wajib haji yang perlu dilaksanakan oleh setiap jemaah.

Antara perkara wajib haji ialah melontar jamrah. Terdapat tiga jamrah yang dilontar oleh jemaah iaitu Jamrah Sughra, Jamrah Wusta dan Jamrah Kubra atau Aqabah.

Namun, mungkin ada dalam kalangan kita yang tertanya-tanya, adakah perbuatan melontar jamrah itu bermaksud seolah-olah jemaah sedang membaling syaitan?

Bagi menjawab persoalan itu, ikuti perkongsian daripada Bahagian Dakwah JAKIM menerusi Facebook.

Simbolik perjuangan

Setiap kali musim haji, mesti ada yang tertanya-tanya,

“Betul ke dekat jamrah tu ada syaitan?”

“Kalau baling kuat sikit, syaitan terus pengsan ke?”

Nak baling pakai selipar boleh tak? Geram la kat syaitan"

Haaaaa.. Jom kita sembang sikit..

Sebenarnya, melontar jamrah bukanlah bermaksud kita sedang membaling syaitan yang diikat di situ. Bukan macam “target practice” kat lapangan sasar.

Sebaliknya, ia adalah satu simbolik mengikuti perjuangan Nabi Ibrahim AS melawan godaan syaitan dan tanda ketaatan kepada Allah SWT.

Asal-usul melontar jamrah datang daripada kisah Nabi Ibrahim AS ketika Baginda menunaikan manasik haji.

Kredit: Bernama

Syaitan datang mengganggu dan cuba menggoyahkan keimanan Baginda. Lalu Nabi Ibrahim AS melontarnya dengan batu-batu kecil.

Daripada Ibn ‘Abbas RA, beliau meriwayatkan:

لَمَّا أَتَى إِبْرَاهِيمُ خَلِيلُ اللَّهِ الْمَنَاسِكَ عَرَضَ لَهُ الشَّيْطَانُ عِنْدَ جَمْرَةِ الْعَقَبَةِ فَرَمَاهُ بِسَبْعِ حَصَيَاتٍ

Maksudnya: “Ketika Nabi Ibrahim AS melaksanakan manasik haji, syaitan muncul di Jamrah al-‘Aqabah lalu Baginda melontarnya dengan tujuh batu kecil…”

(Riwayat Al-Hakim)

Kemudian, Ibn 'Abbas RA berkata lagi:

الشَّيْطَانَ تَرْجُمُونَ وَمِلَّةَ أَبِيكُمْ تَتَّبِعُونَ

Maksudnya: "Kalian merejam syaitan dan mengikuti agama datuk kalian"

Tetapi para ulama menjelaskan bahawa ungkapan ini bukan bermaksud syaitan benar-benar berdiri terpacak terikat di dinding jamrah. Ia hanyalah simbolik kepada penentangan terhadap godaan syaitan.

Hikmah sebenar Melontar Jamrah

  1. Tanda tunduk dan patuh kepada Allah

Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa antara hikmah melontar jamrah ialah melatih diri supaya tunduk kepada perintah Allah walaupun akal tidak memahami sepenuhnya rahsianya.

Beliau berkata:

ومن العبادات التي لا يفهم معناها: السعي والرمي

Maksudnya: “Antara ibadah yang tidak diketahui sepenuhnya hikmah pensyariatannya ialah sa’i dan melontar jamrah.”

Maksudnya, seorang hamba itu belajar untuk berkata, “Ya Allah, aku taat walaupun aku tak faham semua hikmahnya.”

Itulah kemuncak ubudiyyah.

  1. Simbol melawan godaan syaitan

Imam al-Ghazali pula menjelaskan bahawa orang yang melontar jamrah perlu menghadirkan dalam hati bahawa dia sedang memerangi syaitan dan godaan maksiat.

Maknanya setiap batu yang dilontar seolah berkata, aku lawan malas solat, aku lawan nafsu, aku lawan bisikan maksiat, aku lawan hati yang suka tangguh taubat.

Sebab syaitan sebenar bukan semestinya dekat jamrah.

Kadang-kadang dia muncul waktu alarm Subuh bunyi, nak baca al-Quran, atau masa kita rasa 5 minit lagi scroll TikTok, tiba-tiba 2 jam hilang.

Kredit: Bernama
  1. Untuk mengingati Allah SWT

Allah SWT juga berfirman,

وَٱذْكُرُوا۟ ٱللَّهَ فِىٓ أَيَّامٍ مَّعْدُودَٰتٍ

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu mengingati Allah pada hari-hari yang tertentu bilangannya.”

(Surah Al Baqarah: 203)

Imam al-Syanqiti menjelaskan bahawa ayat ini menjadi dalil bahawa antara tujuan melontar jamrah ialah memperbanyakkan zikrullah dan mengingati Allah SWT.

Kesimpulan

Melontar jamrah bukan bermaksud kita sedang membaling syaitan yang diikat pada dinding jamrah.

Ia adalah simbol melawan godaan syaitan, mengikuti sunnah Nabi Ibrahim AS, dan penghambaan kepada Allah SWT.

Perlaksanaannya pun dah ada ketetapan menggunakan 7 batu kecil saja

Jabir bin Abdullah RA berkata :

“Rasulullah SAW melontar jamrah pada Hari Nahar dengan tujuh biji batu kecil.”

(Riwayat Muslim)

Yang paling penting bukan kuat mana kita melontar batu, tetapi kuat mana kita melawan syaitan dalam kehidupan seharian.

Wallahua'lam