Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Sayur Cepat Layu Dan Busuk? Ini 8 Cara Cuci Serta Simpan Dengan Betul

sayur
Kredit: seriouseats

Sayur-sayuran segar sememangnya menjadi antara bahan penting dalam penyediaan makanan harian. Namun, tidak semua sayur boleh disimpan dengan cara yang sama kerana sesetengahnya lebih mudah layu, rosak atau membusuk jika tidak dikendalikan dengan betul.

Iklan

Malah, tabiat mencuci semua sayur sebaik sahaja dibeli juga tidak semestinya membantu mengekalkan kesegarannya, terutama jika sayur tersebut tidak akan digunakan dalam masa terdekat.

Justeru, terdapat beberapa kaedah yang boleh diamalkan untuk membersihkan dan menyimpan sayur dengan betul supaya tahan lebih lama serta tidak mudah rosak.

Kredit: seriouseats

1. Asingkan Sayur Mengikut Tempoh Penggunaan

Sebaik sahaja pulang dari pasar atau kedai, periksa dahulu semua sayur yang dibeli dan asingkan mengikut tempoh penggunaannya.

Sayur berdaun lembut seperti salad, chicory dan daun muda lebih mudah layu atau rosak berbanding sayur berdaun tebal seperti kale serta salad romaine.

Oleh itu, sayur yang lebih lembut dan mudah rosak perlu diutamakan untuk digunakan dalam tempoh 48 jam. Sayur yang lebih tahan pula boleh disimpan untuk kegunaan kemudian.

Bagi sayur yang tidak akan dimakan dalam masa beberapa hari, sebaiknya biarkan dalam keadaan asal tanpa dibasuh sehingga tiba masa untuk digunakan.

Langkah ini dapat mengurangkan pendedahan kepada kelembapan berlebihan yang boleh menyebabkan sayur membusuk. Pada masa sama, proses mencuci dan mengeringkan terlalu awal juga berisiko menyebabkan sayur kehilangan kelembapan lalu menjadi layu.

Kredit: seriouseats

2. Gunakan Tisu Dapur Ketika Menyimpan Sayur

Bagi sayur seperti salad yang masih dalam bentuk sebiji atau seketul, ia boleh disimpan bersama sekeping tisu dapur di dalam bekas bertutup atau beg penyimpanan berzip.

Tisu dapur berfungsi menyerap kelembapan berlebihan, sekali gus membantu mengurangkan risiko sayur menjadi lembik dan rosak.

Selain itu, gunakan bekas lutsinar supaya keadaan sayur mudah dilihat dan tidak terlupa sehingga rosak di dalam peti sejuk.

Sebelum menyimpan sayur, tanggalkan getah yang mengikat ikatan sayur kerana tekanan daripada getah boleh merosakkan tisu tumbuhan dan mempercepatkan proses pereputan.

Periksa juga setiap helai daun dan asingkan bahagian yang sudah berlendir atau rosak supaya tidak menjejaskan sayur lain.

3. Elakkan Sayur Bertindih Atau Dihimpit

Sayur yang sudah diasingkan boleh disimpan di dalam beg penyimpanan berzip atau bekas bertutup sebelum dimasukkan ke dalam peti sejuk.

Namun, pastikan sayur tidak dihimpit atau diletakkan di bawah barang yang berat kerana keadaan itu boleh menyebabkan daun rosak dan mudah lebam.

Jika ruang peti sejuk terhad, gunakan bekas plastik keras yang boleh disusun bertingkat. Sayur boleh diletakkan di dalam bekas secara berasingan atau dilapik menggunakan tisu dapur dan kain bersih.

Kaedah ini bukan sahaja membantu menjimatkan ruang, malah memudahkan pengguna mengambil sayur yang diperlukan tanpa perlu mengalihkan keseluruhan barang di dalam peti sejuk.

4. Cuci Sayur Berdaun Menggunakan Air Sejuk

Bagi sayur berdaun lembut yang akan digunakan dalam tempoh terdekat, proses mencuci boleh dilakukan lebih awal.

Caranya, sediakan bekas besar berisi air sejuk sebelum mengasingkan daun salad atau sayur berdaun daripada bahagian utamanya.

Buang daun yang sudah rosak atau kotor sebelum merendam dan menggoyangkan sayur secara perlahan di dalam air.

Elakkan memasukkan terlalu banyak sayur dalam satu bekas kerana air perlu mempunyai ruang untuk mengalir di celah celah daun. Sebaiknya, lakukan proses mencuci secara berperingkat.

Selain itu, masukkan sayur ke dalam air yang sudah disediakan dan bukannya meletakkannya di dalam bekas kosong sebelum mengalirkan air terus ke atasnya. Aliran air yang kuat berisiko menyebabkan daun lebam atau rosak.

5. Ulang Proses Mencuci Jika Masih Berpasir

Selepas sayur direndam dan digerakkan perlahan di dalam air, angkat daun satu demi satu daripada bekas.

Elakkan menuangkan air bersama sayur kerana kotoran dan pasir yang mendap di dasar bekas boleh kembali melekat pada daun.

Ketika mengangkat sayur, periksa sama ada masih terdapat pasir atau kotoran pada permukaannya.

Jika daun masih terasa berpasir, buang air yang digunakan, isi semula bekas dengan air bersih dan ulang proses mencuci sehingga sayur benar benar bersih.

6. Keringkan Sayur Sebelum Disimpan

Selepas dicuci, toskan sayur menggunakan alat pengering salad atau salad spinner.

Masukkan sayur dalam kuantiti yang bersesuaian dan putarkan alat tersebut untuk mengeluarkan lebihan air pada daun.

Bagaimanapun, sayur yang sudah ditoskan tidak sepatutnya terus dimasukkan ke dalam beg atau bekas penyimpanan kerana daunnya mungkin masih terlalu lembap.

Sebaliknya, bentangkan tisu dapur atau kain bersih di atas dulang, kemudian susun daun sayur dalam satu lapisan.

Biarkan sayur mengering di kawasan yang sejuk dan mempunyai pengudaraan baik. Jika mempunyai ruang mencukupi, dulang juga boleh diletakkan tanpa penutup di dalam peti sejuk.

Sayur tidak perlu dikeringkan sepenuhnya. Sebaliknya, pastikan kira kira 90 hingga 95 peratus kelembapannya telah dikeluarkan supaya daun masih mempunyai sedikit kelembapan untuk kekal segar dan rangup.

7. Simpan Sayur Yang Sudah Dicuci Dengan Lapisan Tisu Atau Kain Bersih

Selepas proses pengeringan selesai, masukkan sayur ke dalam bekas atau beg penyimpanan.

Bagi sayur berdaun yang sudah diasingkan, susun secara berlapis dengan menggunakan tisu dapur atau kain bersih di antara lapisan daun.

Kaedah ini membantu menyerap lebihan kelembapan dan mengelakkan daun di bahagian bawah daripada dihimpit oleh daun di atasnya.

Namun, jangan memenuhi bekas secara berlebihan kerana sayur memerlukan ruang untuk disimpan dalam keadaan baik.

Dengan kaedah penyimpanan ini, sayur salad boleh bertahan kira kira tiga hari, manakala sayur berdaun yang lebih tahan seperti kale boleh disimpan sehingga lima hari.

8. Masak, Peram Atau Jeruk Sayur Jika Ruang Peti Sejuk Terhad

Jika membeli sayur dalam kuantiti yang banyak sehingga ruang peti sejuk tidak mencukupi, pertimbangkan untuk memasak atau memproses sebahagiannya.

Sayur seperti cendawan boleh dipanggang untuk mengurangkan saiznya, manakala kale dan arugula boleh diproses menjadi sos seperti pesto.

Sayur berdaun yang mempunyai rasa sedikit pahit seperti brokoli rabe dan chard juga boleh dimasak sehingga layu untuk disimpan dan digunakan dalam hidangan seterusnya.

Selain memasak, kaedah penapaian dan penjerukan turut boleh digunakan untuk memanjangkan tempoh penyimpanan sesetengah sayur.

Sebagai contoh, kubis boleh diproses menjadi sauerkraut menggunakan garam, manakala sayur tertentu boleh dijadikan jeruk atau kimchi.

Kaedah ini bukan sahaja membantu mengurangkan penggunaan ruang peti sejuk, malah membolehkan sayur dinikmati dalam pelbagai jenis hidangan pada hari berikutnya.

Kesimpulannya, cara mencuci dan menyimpan sayur memainkan peranan penting dalam mengekalkan kesegarannya. Dengan mengasingkan sayur mengikut tempoh penggunaan, mengawal kelembapan serta memilih bekas penyimpanan yang sesuai, pembaziran makanan dapat dikurangkan dan sayur boleh dinikmati dalam keadaan lebih baik.

Intipati
  • Sayur perlu diasingkan mengikut ketahanan dan tempoh penggunaan bagi mengurangkan pembaziran.
  • Kelembapan berlebihan boleh menyebabkan sayur cepat lembik, layu atau membusuk dalam simpanan.
  • Sayur yang banyak boleh dimasak, dijeruk atau ditapai jika ruang peti sejuk terhad.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan