Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Tidak Setuju Guru Lebihan Jadi Warden, Asyraf Wajdi Cadang Ambil Bekas Anggota ATM, PDRM

PDRM
Kredit: Bernama

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki tidak bersetuju dengan cadangan Kementerian Pendidikan (KPM) melantik guru lebihan yang masih belum mendapat penempatan sebagai warden asrama.

Iklan

Sebaliknya, beliau mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mempunyai pengalaman serta latihan dalam bidang keselamatan dan penguatkuasaan untuk mengisi jawatan berkenaan.

Menurutnya, tugas sebagai warden asrama bukan sekadar mengawasi penghuni, sebaliknya memerlukan kemahiran khusus dalam aspek keselamatan dan kebajikan pelajar.

Katanya, antara kemahiran yang diperlukan termasuk pengendalian kecemasan, pencegahan buli, pengurusan konflik, perlindungan kanak kanak serta pengawasan secara berjadual.

“Pelantikan guru lebihan tidak semestinya menjamin mereka mempunyai kompetensi khusus untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai warden asrama.

“Lebih baik guru memberi tumpuan kepada tugas hakiki mereka iaitu mendidik, manakala tanggungjawab menjaga keselamatan dan pengurusan asrama diserahkan kepada individu yang mempunyai latihan serta kemahiran bersesuaian,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya, malam ini.

Sehubungan itu, beliau berpandangan KPM perlu membangunkan laluan kerjaya warden profesional sepenuh masa yang dilengkapi latihan khusus, standard prestasi serta mekanisme akauntabiliti yang jelas.

Jelasnya, Malaysia mempunyai sumber tenaga berpotensi dalam kalangan pesara ATM dan PDRM yang boleh dipertimbangkan untuk mengisi jawatan tersebut.

Bagaimanapun, beliau menegaskan calon daripada kalangan pesara pasukan keselamatan perlu melalui tapisan latar belakang dan penilaian kesesuaian sebelum dilantik, terutama bagi memastikan mereka mampu mengendalikan golongan remaja.

“Mereka juga perlu diberikan latihan tambahan merangkumi aspek pedagogi, psikologi dan perlindungan kanak kanak bagi memastikan pendekatan pengurusan asrama bukan sekadar berteraskan disiplin dan keselamatan,” katanya.

Tambah beliau, pengalaman pesara pasukan keselamatan dalam aspek disiplin dan pengurusan keselamatan sememangnya boleh dimanfaatkan, namun tidak bermakna semua pesara secara automatik sesuai untuk dilantik sebagai warden asrama.

Intipati
  • Asyraf Wajdi tidak bersetuju guru lebihan dilantik sebagai warden asrama.
  • Beliau mencadangkan pesara ATM dan PDRM dipertimbangkan mengisi jawatan warden.
  • Calon pesara pasukan keselamatan disaran menjalani tapisan latar belakang dan latihan tambahan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan