Orang ramai diseru supaya memastikan alamat tempat tinggal, alamat e mel dan nombor telefon yang didaftarkan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sentiasa tepat serta terkini bagi mengelakkan sebarang gangguan ketika menggunakan perkhidmatan digital jabatan itu.
JPJ menerusi kenyataan media hari ini memaklumkan, langkah berkenaan penting sebagai persediaan pihaknya memperkenalkan dan memperluaskan ciri serta fungsi baharu dalam sistem perkhidmatan digital.
Menurut kenyataan itu, maklumat peribadi yang tidak dikemas kini berpotensi menjejaskan kelancaran pelaksanaan inisiatif pendigitalan yang sedang diperkukuh, sekali gus boleh mengganggu urusan pengguna.
Jelas JPJ, maklumat profil yang sah, tepat dan terkini amat penting bagi memastikan setiap inisiatif pendigitalan dapat dilaksanakan dengan lancar, selain membolehkan orang ramai mengakses pelbagai perkhidmatan jabatan itu dengan lebih mudah, pantas dan selamat.
Sehubungan itu, orang ramai diminta menyemak serta mengemas kini maklumat masing masing bagi memastikan mereka bersedia menggunakan kemudahan digital baharu yang bakal diperkenalkan.
Proses pengemaskinian boleh dilakukan menerusi aplikasi MyJPJ, Portal Awam JPJ atau dengan hadir ke mana mana kaunter JPJ berhampiran.
Bagi memudahkan urusan pengguna, JPJ turut menyediakan panduan untuk mengemas kini profil menerusi laman Facebook rasminya.
JPJ berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha jabatan berkenaan untuk memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, selamat dan mesra pengguna.
Dalam pada itu, JPJ menegaskan komitmennya untuk memperkukuh ekosistem perkhidmatan digital bagi memastikan transformasi digital jabatan dapat dilaksanakan secara menyeluruh demi manfaat rakyat.

