Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kena Jaga Pantang Larang Ihram Lebih Lama, Ada Ke Jemaah Malaysia Pilih Haji Ifrad?

Beza Haji Tamattu’

Kena Jaga Pantang Larang Ihram Lebih Lama, Ada Ke Jemaah Malaysia Pilih Haji Ifrad?

Menunaikan ibadah haji merupakan rukun Islam yang kelima dan wajib dilaksanakan bagi mereka yang berkemampuan.

Setiap tahun, jutaan umat Islam dari seluruh dunia akan berkumpul di Tanah Suci Makkah untuk menunaikan ibadah ini.

Ibadah haji juga merangkumi beberapa rukun seperti niat ihram, wukuf di Arafah, tawaf, sa’ie, bercukur dan tertib.

Selain itu, dalam ibadah ini juga terdapat tiga jenis haji yang utama iaitu Haji Tamattu’, Haji Ifrad dan Haji Qiran.

Ramai tahu kebanyakan jemaah Malaysia biasanya melakukan Haji Tamattu’. Namun, adakah jemaah Malaysia turut melaksanakan Haji Ifrad atau Haji Qiran?

Jika ya, bagaimana pula dengan cabarannya, terutama bagi Haji Ifrad yang memerlukan jemaah menjaga pantang larang ihram dalam tempoh lebih lama?

Untuk mendapat pencerahan mengenai perkara ini, ikuti penjelasan daripada Ketua Pakar Rujuk Tabung Haji dan mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Prof Madya Dato’ Dr Luqman Haji Abdullah.

Beza Haji Tamattu', Haji Ifrad & Haji Qiran

  • Haji Tamattu'

Menurutnya, Haji Tamattu' merupakan haji yang dilakukan apabila seseorang jemaah itu memasuki kawasan Mekah dengan niat ihram dan umrah.

Haji Tamattu' merupakan ibadah yang biasanya dilaksanakan oleh kebanyakan jemaah, termasuk jemaah dari Malaysia.

Apabila mereka masuk ke Mekah, berniat ihram umrah di Miqat, mereka akan terus melakukan ibadah umrah termasuk tawaf, sai'e dan bercukur.

"Dan ketika itu, selesailah ibadah umrahnya dan dia menunggu waktu hari wuquf di Arafah untuk berniat haji. Jadi itu dipanggil Haji Tamattu'," ujar beliau.

Ini kerana jemaah tersebut masuk ke Tanah Haram dengan ihram umrah dan bukannya ihram haji. Haji jenis ini juga dikenakan dam.

  • Haji Ifrad

Haji Ifrad pula ialah haji yang berlaku apabila seseorang itu masuk ke Mekah terus dengan niat haji.

"Sahaja aku melakukan ibadah haji dan berihram dengannya kerana Allah Taala."

Jadi, apabila seseorang itu masuk ke Mekah dan sesampainya di Miqat, jemaah tersebut terus berniat haji dan tidak berniat umrah.

Untuk jemaah yang berniat Haji Ifrad, mereka akan terus berada dalam ihram sehingga selesai ibadah haji.

  • Haji Qiran

Haji Qiran merupakan haji di mana seseorang jemaah itu menggabungkan niat ihram antara haji dan umrah.

"Sahaja aku melakukan ibadah haji dan berihram dengan niat haji dan umrah dan aku berihram dengan kedua-duanya."

Bagi Haji Qiran, seseorang jemaah itu tidak dibenarkan membuka ihramnya sehingga dia selesai melaksanakan ibadah haji. Ini juga dikenakan dam.

Ujar beliau lagi, kebanyakan jemaah dari Malaysia melakukan ibadah Haji Tamattu' kerana tiba awal di Mekah dan sekiranya mereka melakukan ibadah Haji Ifrad, mungkin mereka akan berada lama dalam ihram dan perkara itu ada sedikit masyaqqah untuk sesetengah jemaah bagi menjaga pantang larang dalam ihram.

Segelintir Jemaah Malaysia ada lakukan Haji Qiran & Haji Ifrad

Menurut Luqman, kebanyakan jemaah Malaysia melakukan Haji Tamattu'. Namun ada juga segelintir yang turut melakukan Haji Qiran.

"Setakat yang saya survey, tidak ramai yang melakukannya. Kebanyakan mereka memilih Haji Tamattu' kerana pantang larang ihram itu sendiri.

"Buat jemaah yang melakukan Haji Tamattu', apabila umrah mereka selesai, mereka boleh memakai baju seperti biasa," tambah beliau.

Jemaah yang berniat melaksanakan Haji Tamattu' bermaksud dia berazam dan berniat untuk melakukan haji, tapi memulakannya dengan ibadah umrah.

"Masuk dengan hasrat lakukan haji tapi mulakan dengan umrah, selepas itu selesai hingga bertahlul, boleh pakai baju macam biasa dan tunggu sahaja hari Arafah," jelas beliau.

Walaupun ada yang melakukan Haji Qiran, pihak Tabung Haji tetap akan menguruskan jemaah dan jemaah juga bebas membuat pilihan.

Pihak Tabung Haji juga akan memberikan nasihat mana yang sesuai untuk jemaah tersebut.

Ujar beliau lagi, segelintir jemaah juga ada melakukan Haji Ifrad, terutama mereka yang datang lewat.

"Terutamanya bagi mereka yang datang hampir-hampir pada hari wukuf kerana mereka tidak mahu berada dalam ihram selama beberapa hari," ujar beliau lagi.

Dari sudut Mazhab Syafi’e pula, Haji Ifrad dianggap lebih afdal berbanding haji lain.

Namun, disebabkan keadaan dan pantang larang, ramai yang tidak bersedia dan ramai yang memilih melaksanakan Haji Tamattu'.

Kenapa Haji Ifrad lebih afdal?

Menurut beliau lagi, Haji Ifrad lebih afdal kerana haji tersebut dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Oleh itu, Mazhab Syafi’e melihat itu sebagai apa yang dilakukan oleh Rasulullah.

Selain itu, ada juga kisah yang mengatakan Rasulullah pada ketika itu membawa haiwan untuk membayar dam.

Pada waktu itu, sahabat Baginda yang lain juga ada membuat Haji Tammattu' dan Qiran.

Mengikut Mazhab Hambali pula, Haji Tamattu' dianggap lebih afdal terutama mereka yang sudah mempunyai haiwan untuk membayar dam.

Waktu itu, Rasulullah masuk ke Mekah dan pergi ke Mina dahulu pada hari kelapan (Hari Tarwiyah). Pada hari kesembilan, barulah Rasulullah pergi ke Arafah dan seterusnya ke Muzdalifah dan Mina.

Cuma, untuk jemaah Malaysia, mereka tidak digalakkan untuk berbuat demikian walaupun ada yang memilih untuk pergi ke Mina dahulu.

Namun, pihak Tabung Haji memilih untuk terus pergi ke Arafah atas urusan mobiliti.

Beza Tawaf Qudum & Tawaf Ifadah

Tawaf qudum ialah tawaf selamat datang, manakala tawaf ifadah pula ialah tawaf rukun.

Tawaf ifadah dilakukan setelah pulang dari Arafah, Muzdalifah atau Mina. Bagi Haji Ifrad dan Qiran, apabila mereka melakukannya, mereka perlu bersa’ie sekiranya belum melakukan sa’ie selepas tawaf qudum.

Dalam erti kata lain, sa’ie tersebut boleh dilakukan selepas tawaf qudum ataupun tawaf ifadah.

Bagi Haji Ifrad, jemaah boleh melakukan tawaf qudum. Jadi, apabila pulang dari Arafah dan Mina, barulah mereka melakukan tawaf ifadah dan sa’ie.