Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Jaga-jaga, Ini 10 Punca Kematian Utama Di Malaysia

punca kematian utama
Gambar Hiasan

Setiap tahun, pelbagai penyakit dan faktor kesihatan menjadi penyumbang kepada kematian dalam kalangan masyarakat.

Namun, tahukah anda apakah punca kematian paling tinggi yang direkodkan di Malaysia?

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menerusi penerbitan Perangkaan Sebab Kematian, Malaysia, 2026, penyakit jantung iskemik menduduki tempat pertama sebagai punca kematian utama di negara ini bagi tahun 2025 dengan mencatatkan 13 peratus daripada keseluruhan kematian.

Pneumonia pula berada di kedudukan kedua dengan 12.7 peratus, diikuti diabetes mellitus yang merekodkan 5.0 peratus.

Selain itu, kegagalan buah pinggang mencatatkan 3.6 peratus, manakala kemalangan pengangkutan menyumbang sebanyak 3.4 peratus.

Berikut merupakan senarai 10 punca kematian utama di Malaysia bagi tahun 2025:

1. Penyakit jantung iskemik – 13.0 peratus

2. Pneumonia – 12.7 peratus

3. Diabetes mellitus – 5.0 peratus

4. Kegagalan buah pinggang – 3.6 peratus

5. Kemalangan pengangkutan – 3.4 peratus

6. Strok yang tidak dikenal pasti sama ada iskemik atau hemoragik – 2.5 peratus

7. Kegagalan jantung – 2.1 peratus

8. Pendarahan intrakranial – 2.0 peratus

9. Neoplasma malignan bronkus atau paru-paru – 2.0 peratus

10. Neoplasma malignan usus besar, rektum dan dubur – 1.9 peratus

Penyakit Jantung Iskemik Punca Kematian Utama Lelaki, Pneumonia Bagi Wanita

Menariknya, statistik DOSM turut menunjukkan perbezaan punca kematian utama berdasarkan jantina.

Penyakit jantung iskemik menjadi punca kematian tertinggi dalam kalangan lelaki dengan mencatatkan 15.5 peratus.

Sebaliknya, pneumonia menduduki tempat pertama bagi wanita dengan peratusan sebanyak 13.6 peratus.

Mengikut kumpulan umur pula, pneumonia menjadi punca kematian utama bagi kanak-kanak berusia 0 hingga 14 tahun dengan 5.3 peratus.

Bagi golongan berusia 15 hingga 40 tahun, kemalangan pengangkutan mencatatkan peratusan tertinggi iaitu 21.3 peratus.

Sementara itu, penyakit jantung iskemik menjadi punca kematian utama bagi individu berusia 41 hingga 59 tahun dengan 17.5 peratus.

Bagi warga emas berusia 60 tahun dan ke atas, pneumonia kembali menjadi punca kematian utama dengan mencatatkan 15.6 peratus.

Perbezaan Punca Kematian Mengikut Kumpulan Etnik

DOSM turut memperincikan punca kematian utama berdasarkan kumpulan etnik di Malaysia.

Bagi masyarakat Melayu, penyakit jantung iskemik menjadi punca kematian utama dengan 14.0 peratus.

Pneumonia pula menduduki tempat pertama bagi kumpulan Bumiputera Lain dengan 11.5 peratus dan masyarakat Cina dengan 14.1 peratus.

Dalam kalangan masyarakat India, penyakit jantung iskemik menjadi punca kematian utama dengan mencatatkan 17.0 peratus.

Dari segi taburan negeri, penyakit jantung iskemik menjadi punca kematian utama di Johor, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perlis, Pulau Pinang, Selangor, Terengganu serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Bagaimanapun, pneumonia menjadi punca kematian utama di Kedah, Perak, Sabah dan Sarawak.

Statistik ini menunjukkan bahawa punca kematian utama berbeza mengikut jantina, kumpulan umur, etnik dan lokasi berdasarkan data yang direkodkan bagi tahun 2025.

Sumber:Instagram
Intipati
  • Penyakit jantung iskemik mencatat 13 peratus kematian, tertinggi di Malaysia pada 2025.
  • Pneumonia menjadi punca utama kematian wanita, kanak-kanak dan warga emas berusia 60 tahun ke atas.
  • Kemalangan pengangkutan mencatat punca kematian tertinggi bagi kumpulan umur 15 hingga 40 tahun.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan