Singapura – Pada Rabu bersamaan 1 Jun hari ini, seorang jurulatih anjing, Sabrina Sim Xin Huey, 30, didenda sebanyak RM35,064 kerana meninggalkan dua anjing bulldog Perancis dalam but keretanya hingga mati.
Menurut laporan CNA, dalam kejadian yang berlaku kira-kira dua tahun lepas itu, kedua-dua anjing tersebut yang diberi nama Chocoby dan Hunniby diimport oleh pemiliknya dari Australia ke Singapura.
Bagaimanapun disebabkan kecuaiannya ketika itu, anjing tersebut tertinggal di dalam but kereta. Gara-gara terkurung, akhirnya anjing itu mati dipercayai akibat mengalami tekanan haba.
Imbas kembali, pada 25 Ogos 2020 dahulu, selepas menamatkan sesi latihan, Sim ketika itu meletakkan dua ekor anjing tersebut di dalam but dan memandu pulang.
Lanjutan daripada itu, dia tiba di rumah kira-kira jam 2.30 petang dan meletak kenderaannya sambil mematikan enjin dan penghawa dingin. Lalu, tingkap dinaikkan dan kereta itu diletakkan di tempat yang tidak terlindung di tempat letak kereta terbuka.
Semasa Sim keluar dari kereta, dia teralih perhatian kepada media sosial sehingga terlupa untuk membenarkan anjing tersebut keluar dari kereta. Kemudian, dia menutup pintu kereta dan naik ke apartmen miliknya.
Namun pada jam 4 petang berikutnya, kira-kira satu setengah jam kemudian, Sim menyedari bahawa dia telah meninggalkan anjing-anjing itu di dalam but. Dia segera berlari ke kereta dan mendapati kedua-dua anjing itu sudah tidak bergerak.
Lantas, Sim membawa anjing itu ke klinik veterinar berhampiran, tetapi malangnya, kedua-dua haiwan itu disahkan telah meninggal dunia sebaik sahaja tiba di sana.
Justeru, hasil pemeriksaan bedah siasat mendapati Chocoby berada dalam keadaan tertekan sebelum kematiannya dengan peningkatan perolehan sel darah merah.
Keputusan pendakwaan
Disebabkan itu, jurulatih tersebut didapati dilarang menjalankan sebarang perniagaan berkaitan haiwan selama tempoh enam bulan. Sejajar dengan itu, peguamnya Clement Julien Tan memberitahu mahkamah bahawa dia akan membuat rayuan terhadap larangan tersebut.
Hakim Daerah Carol Ling berkata beliau tidak bersetuju dengan hujah pihak pembelaan bahawa “melupakan adalah kesilapan manusia”.
“Walaupun tertuduh membuat kesalahannya secara tidak sengaja, kesan buruknya disebabkan oleh tertuduh adalah tinggi dan tidak boleh dipandang remeh”, kata hakim berkenaan.
Sim mengaku bersalah atas satu pertuduhan kerana gagal dalam mengambil langkah yang munasabah bagi memastikan Chocoby tidak dikurung dalam cara yang menyebabkannya mengalami kesakitan dan penderitaan yang tidak wajar.
Selain itu, satu lagi pertuduhan serupa melibatkan Hunniby dipertimbangkan untuk dijatuhkan hukuman. Pendakwaraya Lembaga Taman Negara, Andy Dinesh sebelum ini memberitahu mahkamah bahawa terdapat keperluan untuk mengekalkan standard industri yang tinggi buat jurulatih anjing bertauliah.
Sebagai seorang jurulatih anjing profesional, Sim boleh menggunakan prosedur operasi standard untuk memeriksa keretanya yang diletakkan sebelum beredar, katanya.
Sumber: CNA