Siakap Keli
bapa rogol anak kandung
Foto: Via Sinar Harian

Terbongkar, Bapa Rogol Anak Kandung Sejak 4 Tahun Lalu Ditahan Polis

Bagaikan haruan makan anak, seorang bapa dilapor tergamak merogol anak perempuan kandungnya sendiri sejak empat tahun lalu.

Memetik laporan Sinar, kejadian jijik yang dilakukan bapa berusia 39 tahun itu ke atas anaknya tersebut berlaku semasa mangsa berusia 11 tahun.

Bagaimanapun, segalanya mula terbongkar selepas anak perempuannya itu yang kini sudah berusia 14 tahun pengsan di sekolahnya.

Menurut Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhammad Zaki Harun, pihaknya menerima laporan kejadian tersebut daripada guru dan pelajar berkenaan pada pukul 11:15 pagi pada Selasa.

“Mangsa telah pengsan di sekolah pada pagi Selasa.

“Sebaik sahaja tersedar, guru berkenaan bertanyakan keadaannya sebelum itu dan tanpa berselindung, remaja tersebut memberitahu dia adalah mangsa rogol bapa kandungnya,” katanya, memetik laporan Sinar.

Jelasnya lagi, mangsa mendedahkan, kali terakhir suspek melakukan perbuatan terkutuk itu adalah pada Selasa, kira-kira pukul 2 pagi semasa mangsa tidur di dalam bilik.

“Bertindak atas laporan tersebut, polis telah membuat tangkapan terhadap suspek yang bekerja sebagai tukang rumah di perkarangan Hospital Tanah Merah pada petang Selasa,” tambahnya.

Siasatan awal mendapati suspek mengaku telah merogol mangsa sebanyak tiga kali dalam tempoh empat tahun.

“Mangsa tinggal bersama suspek dan ibu tiri serta empat saudara tiri yang lain.

“Mangsa telah dihantar ke Hospital Tanah Merah untuk menjalani pemeriksaan kesihatan serta mendapatkan rawatan.

“Hasil pemeriksaan mendapati ada kesan koyakan lama,” tambahnya.

Bagaimanapun menurutnya, hasil ujian saringan yang dilakukan mendapati suspek negatif dadah, serta tiada rekod jenayah lampau direkodkan.

Muhamad Zaki memaklumkan kenyataan sedemikian kepada pemberita dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan pada Rabu.

Sumber: Sinar Harian

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang