Siakap Keli
suplemen vitamin c
Gambar: Hello Doktor

Betul Ke Ambil Suplemen Vitamin C Setiap Hari Mampu Tingkat Sistem Imun Badan?

Betulkah ambil suplemen Vitamin C setiap hari mampu tingkatkan sistem imun badan? Adakah ia tidak mendatangkan kesan sampingan jika mengambilnya dalam kuantiti tertentu?

Seperti sedia maklum, badan manusia memerlukan nutrisi yang cukup untuk kekal sihat dan cergas sepanjang menjalankan aktiviti harian.

Sehubungan itu, setiap orang perlu mengambil makanan mengikut daftar piramid makanan agar setiap kelasnya dapat membekal nutrien mencukupi kepada badan manusia.

Seperti juga vitamin C, ia terkenal kerana mampu meningkatkan sistem imunisasi dalam badan. Vitamin C mengandungi antioksidan yang boleh dijumpai dalam buah-buahan dan sayur-sayuran.

Antara buah-buahan dan sayur-sayuran yang kaya dengan vitamin C ialah lemon atau limau, brokoli, tomato, jambu batu dan banyak lagi.

Walau bagaimanapun, apa yang akan terjadi jika kita mengambil makanan tambahan (suplemen) vitamin C secara berlebihan dan adakah ia akan memudaratkan badan kita?

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, mari kita ikuti perkongsian yang dibawakan oleh Hello Doktor di bawah.

Berlumba-lumba Makan Suplemen, Adakah Dos Vitamin C 1000mg Selamat?

Ramai daripada kita yang mungkin pernah membuat carian di Google berkenaan cara makan vitamin C 1000mg dengan betul. Persoalannya, adakah anda benar-benar memerlukan 1000mg vitamin C setiap hari? Ini cara makan suplemen vitamin C yang sepatutnya anda ikut.

Mengapa tubuh badan memerlukan vitamin C?

Sebelum anda mengetahui cara makan vitamin C 1000mg dengan betul, anda perlu ambil maklum apakah fungsi sebenar vitamin C.

Vitamin C merupakan antara jenis nutrien yang sangat penting untuk kesihatan tubuh. Ia membantu membentuk dan mengekalkan kesihatan tulang, kulit dan juga saluran darah.

Vitamin C bersifat larut air dan tubuh badan kita tidak menyimpannya dalam tubuh.

Untuk mengekalkan tahap vitamin C yang mencukupi, kita perlu mengambil jenis makanan yang mengandungi vitamin ini setiap hari.

Terdapat pelbagai fungsi vitamin C terhadap tubuh badan manusia.

Antaranya adalah bertindak sebagai antioksidan dengan menyingkirkan bahan-bahan yang tidak diperlukan oleh badan.

Selain itu juga, ia membantu tubuh badan dengan menghasilkan kolagen dan sebahagian neurotransmiter.

Vitamin C juga diperlukan oleh tubuh kerana fungsinya yang membantu menyerap kandungan zat besi ke dalam tubuh.

Vitamin C juga membantu meningkatkan dan merangsang sistem imun badan, selain mempercepatkan penyembuhan luka.

Cara makan vitamin C 1000mg dengan betul: Perlukah ambil dos sebanyak ini?

Gambar: Hello Doktor

Ramai daripada kita yang mengikuti trend semasa dengan mengambil suplemen vitamin C sehingga 1000mg sehari.

Namun tahukah anda, kita sebenarnya tidak perlu mengambil sehingga 1000mg vitamin C sehari.

Jumlah dos harian vitamin C yang disarankan kepada seorang wanita dewasa ialah sebanyak 75mg sahaja.

Manakala bagi wanita hamil atau yang sedang menyusukan bayi, dos yang dicadangkan ialah sebanyak 120mg setiap hari.

Bagi lelaki dewasa pula, jumlah dos vitamin C yang disarankan ialah sebanyak 90mg setiap hari.

Untuk kedua-dua lelaki dan wanita dewasa, jumlah pengambilan maksimum dos vitamin C ialah sebanyak 2000mg sehari, di mana jumlah ini berkemungkinan tidak menyebabkan sebarang kesan sampingan.

Boleh dikatakan bahawa cara makan vitamin C 1000mg dengan betul mungkin tidak menyebabkan sebarang kesan sampingan.

Namun, ia akan dibuang secara terus oleh tubuh badan melalui air kencing jika ia berlebihan daripada jumlah yang diperlukan oleh tubuh.

Cara makan vitamin C 1000mg dengan betul: Ini kesan sampingan yang akan berlaku jika terlebih vitamin C!

Gambar: Hello Doktor

Seperti yang telah diterangkan sebelum ini, jumlah atau dos vitamin C yang diperlukan oleh tubuh setiap hari tidak melebihi 200mg.

Oleh itu, jika anda mengambil 1000mg vitamin C setiap hari, ia mungkin tidak akan menyebabkan sebarang kesan sampingan kerana paras selamat tubuh badan anda menerima dos vitamin C ialah sebanyak 2000mg.

Namun, jika anda mengambil vitamin C lebih daripada 3000mg sehari, anda mungkin akan mengalami beberapa kesan sampingan terutamanya yang berkaitan dengan sistem pencernaan dan batu karang pada buah pinggang.

Ini kerana, apabila anda membebankan tubuh badan dengan dos yang lebih besar daripada biasa, ia akan mula berkumpul dalam tubuh lalu menyebabkan simptom-simptom vitamin C yang berlebihan.

Antara kesan sampingan yang boleh anda alami jika berlebihan vitamin C ialah seperti cirit-birit, muntah-muntah, loya, sakit kepala, pedih ulu hati dan kekejangan perut.

Selain itu, pengambilan vitamin C secara melampau juga boleh menyebabkan penyerapan jumlah zat besi yang terlalu banyak dalam tubuh.

Ini boleh menyebabkan kerosakan yang serius pada pankreas, hati, jantung, tiroid dan sistem saraf pusat.

Bukan itu sahaja, pengambilan vitamin C yang terlalu tinggi setiap hari juga boleh menyebabkan pembentukan batu karang!

Cara makan vitamin C: Jadi, perlukah saya mengambil suplemen vitamin C?

Anda sebenarnya tidak memerlukan suplemen ini jika anda telah mengambil vitamin C yang mencukupi daripada sumber makanan harian.

Perlu diketahui, makanan sebenar merupakan cara terbaik untuk anda mendapatkan kesemua nutrien penting yang diperlukan oleh tubuh, termasuklah vitamin C.

Antara jenis dan jumlah makanan yang perlu anda ambil untuk mendapatkan dos vitamin C yang mencukupi setiap hari ialah:

  • Satu cawan jus oren
  • Satu cawan brokoli yang telah dimasak
  • Sebiji buah kiwi
  • Dua cawan jus tomato
  • Setengah cawan buah strawberi
Gambar: Hello Doktor

Jika anda telah mengambil jenis makanan seperti ini, anda tidak lagi memerlukan pengambilan vitamin C melalui suplemen.

Tambahan pula, suplemen vitamin C ternyata lebih mahal berbanding sumber makanan secara semula jadi.

Namun, jika anda tidak mengambil sebarang sumber vitamin C daripada makanan pada hari tersebut, anda boleh menggantikannya dengan pengambilan suplemen vitamin C.

Kesimpulan

Kini anda telah tahu dos selamat pengambilan suplemen ini.

Ia bukanlah soal cara makan vitamin C 1000mg dengan betul, tetapi lebih tepat lagi mengenai jumlah dan dos harian suplemen tersebut.

Oleh itu, jika ada yang bertanya berkenaan cara makan vitamin C 1000mg dengan betul, anda boleh kongsikan artikel ini kepada mereka.

Sumber: Hello Doktor

Iqbal Yasir

A wise man once said "Siuuuuu"

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.