Seorang lelaki dilaporkan telah menembak mati empat mangsa termasuk doktor pakar bedah di sebuah hospital di Oklahoma pada Rabu lalu.
Lelaki itu didakwa memilih lokasi tersebut untuk membunuh seorang doktor yang dipersalahkan atas kesakitan dialaminya selepas menjalani pembedahan baru-baru ini.
Memetik CNN, Ketua Polis Tulsa, Wendell Franklin memaklumkan bahawa suspek bertindak membunuh diri sejurus selepas menembak doktor pakar bedahnya, Dr Preston Philip dan tiga orang lagi mangsa yang lain.
Jelasnya lagi, suspek dikatakan memasuki kampus Sistem Kesihatan St Francis bersama senjata separa automatik dan melepaskan tembakan sehingga meragut dua nyawa doktor pakar dan seorang penyambut tetamu serta seorang pesakit.
Mangsa yang terkorban dikenali sebagai Dr. Preston Phillips, 59 tahun, merupakan doktor pakar bedah ortopedik yang merawat suspek sebelum itu, dan pakar perubatan sukan, Dr. Stephanie Husen, 48 tahun. Mangsa seterusnya dikenali sebagai William Love merupakan pesakit yang dirawat di hospital berkenaan dan Amanda Glen merupakan penyambut tetamu.
“Suspek pergi ke lokasi tersebut dengan niat untuk membunuh Dr Philips dan sesiapa sahaja yang menghalangnya,” ujar ketua polis itu dalam satu sidang media.
Dalam waktu yang sama, pihak polis menemukan sepucuk surat pada suspek yang menyatakan sasaran serangannya itu.
Difahamkan, suspek telah menjalani pembedahan pada bahagian belakang badan pada 24 Mei lalu. Sejurus keluar dari hospital tersebut, dia menghubungi pihak hospital dan mengadu tentang kesakitan yang dialaminya.
Berdasarkan laporan polis, suspek telah membeli sepucuk senapang pada hari kejadian sebelum melakukan serangan.
Dalam laporan lain, Presiden Joe Biden dalam ucapan di Rumah Putih, menegaskan ‘sudah cukup’ insiden sedemikian di AS. Insiden seperti ini turut digemparkan dengan tragedi serangan di sebuah sekolah di Texas serta pasar raya di Buffalo, New York, baru-baru ini.
Biden juga menggesa Kongres untuk mengharamkan senjata serangan, memperluaskan pemeriksaan latar belakang dan melaksanakan langkah kawalan senjata api yang lain bagi menangani kejadian tembakan seumpama itu di Amerika Syarikat (AS).
Sumber: Washingtonpost, CNN News