Siakap Keli
sewa kereta bercuti

Hanya Sewa Kereta Untuk Pergi Bercuti, Doktor Kongsi Tips Berjimat

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Seorang lelaki berkongsi ‘rahsia’ bagaimana rakannya berjaya berjimat dan menyimpan wang walaupun berjawatan tinggi. Bukan itu sahaja, bahkan pergi bercuti pun hanya menyewa kereta sahaja.

“Kedekut tetapi cerdik”, itulah ungkapan yang diberikan oleh seorang individu bernama Nazmi Samarahan kepada sahabatnya yang dikenali sebagai Dr. Zaman.

Kenapa lelaki ini berkata begitu? Untuk penjelasannya, jom teliti perkongsian yang bermanfaat dan menarik kepada kita semua.

“Saya ada seorang sahabat. Suami isteri bekerja sebagai doktor perubatan. Anda boleh bayangkan gaji keduanya selepas 5 tahun bekerja.

“Saya fikir mungkin mencecah 9K sebulan untuk keduanya tak termasuk dengan “menoreh” di malam hari atau di hujung minggu di klinik-klinik swasta,” tulisnya di laman Facebook.

Hanya membeli kereta secondhand untuk kegunaan harian

Sekadar Gambar Hiasan – Foto: Mekanika

Apa yang menariknya, si Zaman (bukan nama sebenar) ni sangat ‘kedekut’. Namun saya seronok lihat dia dengan idea kedekutnya. Di saat para doktor yang lain mula tukar kereta. Ada pakai City, Civic, Perdana, Preve, Vios dan ada juga yang pakai Alphard. Dia hanya membeli sebuah kereta Kelisa ‘secondhand’ untuk kegunaan suami isteri. Ada juga sebiji motor kapcai bawah 110cc untuk kegunaan ke Masjid dan Surau serta ke kedai runcit.

“Saya pernah tanya si Zaman ni. Kenapa tak pakai kereta yang mewah dan besar sikit. Anak dah masuk 2 orang dah. Doktor-doktor lain kebanyakkan kereta mewah, cikgu-cikgu pun sama naik dengan doktor dari segi berkenderaan ini.”

Dia jawab pada saya, kereta Kelisa dah habis bayar. Buat 5 tahun sahaja. Suami isteri kerja di tempat yang tak jauh sangat. Suami naik motor isteri pandu kereta. Nak balik kampung pun, masih dalam negeri yang sama dengan tempat bertugas. Kelisa dah cukup untuk balik berziarah.

Saya tanya lagi. Kalau nak jalan jauh-jauh? Nak bawa anak-anak dan keluarga mertua macamana? Mampukah Kelisa nak bawa ramai-ramai?

Jawapan yang sangat ‘KEDEKUT’ dia berikan pada saya.

Kerja sebagai doktor cuti tak banyak dan tidak semudahnya untuk ambil. Boleh jalan-jalan namun bukan untuk tempoh yang panjang. Jadi katanya “aku sewa Alphard”. Dalam 3 hari sekitar RM1000 kalau pandai bodek dengan owner kereta. 

Caranya begini untuk ‘kedekut’. Kalau beli Alphard 2nd untuk tahun 2012. Harga sekitar RM189K. Kalau buat loan 9 tahun. Mahu dalam RM2K sebulan nak kena bayar. Sedangkan Dr Zaman hanya pergi kerja dengan motor. Orang rumah dengan Kelisa. Maka si Alphard ni akan tersadai di rumah. Digunakan beberapa kali sahaja dalam seminggu. Bahkan untuk long distance hanya beberapa kali sahaja sebulan. Rugilah katanya.

Hanya sewa Alphard untuk bawa keluarga bercuti

Gambar Sekadar Hiasan – Foto: Keretasewa

Walaupun dia hanya sewa Alphard dengan harga RM1000 untuk sekali sewa. Namun itulah harga yang dia kena bayar sekali untuk setahun iaitu hanya pada percutian keluarga. Sedangkan owner Alphard bagi kegunaan individu perlu bayar bulan-bulan walaupun pandu sekejap-sekejap dan jarang-jarang. Roadtax kena tanggung, service kena bayar, tayar kena ganti. Wah, sangat ‘kedekut’ si Zaman ini.

Lebihan gaji, mereka akan menambah aset positif

Lebihan gaji bulanan dia dan isteri mula menambah aset positif. Sudah ada kediaman peribadi, tanah bendang yang dibeli dan di sewakan, melabur dalam amanah saham dan juga lain-lain demi masa depan.

Keluarga akan terus berkembang katanya. Nanti anak dah ramai kita fikir pula cara lain untuk selesakan keluarga. Nasihat dia untuk saya dan saya kongsikan buat semua.

“Jangan tambah aset yang menjadi liabiliti dalam hidup semata-mata untuk jaga apa yang orang nak kata pada kita. Bersusah-susah dahulu bersenang-senang kemudian.”

Idea ni memang sangat kedekut namun jika kena gayanya inilah yang sudah jadi ‘cerdik’. Pentingnya aliran tunai yang sihat dalam kehidupan kita. Idea ini tak semestinya tepat 100 peratus dengan kita namun boleh diubah suai.

Sumber: Nazmi Samarahan

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang