Siakap Keli
remaja buka pusat ujian covid palsu
Gambar Mick Haupt/Unsplash Via Oddity Central

Remaja 17 Tahun Didakwa Buka Pusat Ujian COVID-19 Palsu, Tuntut Wang Kerajaan RM26 Juta

Seorang remaja lelaki di Jerman didakwa atas tuduhan buka pusat ujian Covid-19 palsu, serta turut ‘menipu’ kerajaan dengan wang tuntutan perubatan sebanyak RM26 juta.

Memetik Oddity Central, ketika kemuncak pandemik Covid-19 di Jerman pada 2020 lalu, permintaan pemeriksaan COVID-19 sangat tinggi hingga kerajaan sanggup membayar semula kos dari pusat-pusat ujian COVID tertentu menerusi invois.

Difahamkan, kebanyakan pusat kesihatan swasta mendapat manfaat yang agak lumayan, namun ada juga yang mengambil kesempatan dengan mengaut keuntungan tanpa tawarkan apa-apa jenis perkhidmatan perubatan.

Begitulah kes seorang remaja dari Freiburg, Jerman berusia 17 tahun yang ‘mencipta’ pusat ujian COVID hanya di atas kertas dan mengeluarkan invois ribuan ujian setiap hari untuk dituntut semula kepada kerajaan.

Mungkin kedengaran agak ‘hebat’, difahamkan idea tersebut yang dilakukan pada tahun 2020 lalu berjaya mengaut keuntungan hingga RM26.3 juta tanpa melakukan apa-apa kerja.

Ketika itu, sebuah pertubuhan perubatan, Kassenärtzlichen Vereinigung (KV) diberi kepercayaan oleh kerajaan Jerman untuk mengendalikan bayaran perkhidmatan kesihatan di pusat perubatan swasta yang menjalankan ujian tersebut.

Difahamkan, berdasarkan laporan, kira-kira sebanyak 5,000 invois bil ujian COVID-19 dikeluarkan oleh ‘pengurus’ tersebut walaupun pusat ujiannya langsung tidak wujud sama sekali.

Malah dalam tempoh kurang dari empat bulan, remaja terbabit didakwa telah mengeluarkan kira-kira 500,000 invois bil ujian COVID-19 walaupun angka itu seakan tidak masuk dek akal.

Bagaimanapun difahamkan, dia langsung tidak pernah menerima apa-apa tindakan daripada pihak KV, malah bayaran tuntutan daripada kerajaan tersebut diterima tepat pada waktunya.

Namun, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Perbuatan remaja itu dihidu pihak bank yang musykil dengan jumlah wang yang terlalu banyak dalam akaun bank miliknya.

Segalanya mula terbongkar pada Jun tahun lepas selepas pihak bank mengesan sejumlah wang sebanyak RM26 juta dalam akaun banknya, sehingga mereka mengesyaki remaja terbabit menjalankan aktiviti cuci duit (money laundering).

Oleh itu, pihak bank terpaksa melaporkan kecurigaan tersebut kepada pihak berkuasa dan akhirnya remaja terbabit ditahan. Disebabkan usianya belum 18 tahun, semua ‘kekayaannya’ itu dirampas dan dia didenda sebanyak RM7,000.

Kini, selepas dua tahun, remaja tersebut sudah pun berusia 19 tahun dan dia akhirnya disabitkan kesalahan.

Sumber: Oddity Central

 

Faiz Mustafa

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.