Siakap Keli
tesla kurangkan pekerja
Sumber: Republic World

Tesla Mahu Kurangkan 10 Peratus Pekerja, Dipercayai Kerana Faktor Ekonomi Meleset

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla, Elon Musk merancang untuk kurangkan pekerja yang sebanyak 10 peratus, dipercayai atas faktor kegawatan ekonomi, memetik The New York Times.

Bagaimanapun, pengurangan tenaga kerja itu tidak dikenakan ke atas pekerja di bahagian pemasangan kereta, bateri atau panel solar. Namun, bilangan jam setiap pekerja akan bertambah.

“Tesla akan mengurangkan pekerja sebanyak 10 peratus kerana kami sudah ‘terlebih’ jumlah kakitangan yang bekerja di banyak kawasan,” katanya dalam emel yang diberikan kepada pekerja.

Sebelum itu, Elon Musk memberitahu pekerjanya di Tesla dan syarikat roketnya, SpaceX bahawa mereka dijangka akan menghabiskan sekurang-kurangnya 40 jam seminggu di pejabat mereka.

“Semakin senior (lama) kamu di sini, semakin jelas kehadiran kamu. Sebab itu saya habiskan banyak masa di kilang.

“Supaya mereka yang sedang bertugas di sana dapat melihat saya bekerja bersama mereka. Jika saya tidak berbuat demikian, SpaceX sudah lama muflis,” katanya dalam emel tersebut.

Memetik e-mel berbeza yang dihantar olehnya kepada eksekutif Tesla, harga sahamnya jatuh sembilan peratus dalam dagangan di Amerika Syarikat (AS) selepas satu laporan mengenai emel tersebut diterbitkan.

Laporan itu ‘mendorong’ Elon Musk dan syarikatnya ke dalam kancah perdebatan hangat mengenai pendekatan tepat bagaimana untuk memulihkan ekonomi syarikat selepas dua tahun berdepan wabak.

Selain itu, Elon Musk dikatakan sering memberi amaran mengenai risikokemelesetan ekonomi sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Namun emel yang dihantarnya itu boleh dianggap sebagai mesej berprofil tinggi yang keluar daripada ‘mulut’ seorang pengusaha syarikat pengeluar kereta ternama sepertinya.

Difahamkan, menurut The New York Times, saham Tesla dilapor menurun kira-kira 40 peratus daripada paras tertinggi pada hujung tahun lepas.

Penurunan itu juga menyebabkan syarikat tersebut berdepan risiko persaingan yang semakin meningkat, selain tuduhan diskriminasi kaum serta masalah pengeluaran di kilangnya di Shanghai, China.

Sumber: The New York Times

Nurul Nazihah