Bayan Lepas – Pihak Polis menemui dua buah motosikal yang ditinggalkan dalam keadaan kunci masih terletak di tempat kunci semasa melakukan tugas Ronda Cegah Jenayah (RCJ) pada 2 Jun baru-baru ini.
Menurut kenyataan Facebook Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya, bagi mengelakkan motosikal itu dicuri, ketua polis bahagian Bayan Lepas mengarahkan anggota bertugas tersebut membawa kedua-dua motosikal itu ke balai.
“Pemilik motosikal telah hadir ke balai untuk membuat laporan kehilangan motosikal tetapi anggota bertugas memberitahu yang motosikal mereka berada di balai,” maklum kenyataan rasmi itu semalam.
Tindakan pantas anggota polis tersebut yang membawa motosikal itu ke balai mampu ‘menyelamatkan’ kenderaan itu daripada dicuri individu tidak bertanggungjawab.
Tambahnya lagi, pihak polis berharap orang ramai lebih berhati-hati kerana kecuaian seperti itu hanya akan memberi ruang dan peluang kepada penjenayah.
Jika perkara itu berlaku, ia sekali gus akan meningkatkan jumlah kes curi motosikal di Daerah Barat Daya di sana.
Ekoran itu, tindakan yang telah dilakukan oleh pihak polis Daerah Barat Daya itu mendapat pujian oleh orang awam.
Sehubungan itu, orang ramai boleh menyalurkan maklumat mengenai sebarang kegiatan jenayah ke bilik Gerakan Polis Barat Daya melalui talian 04-8664122, 019-2238169 (WhatsApp) atau Facebook (page) Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya melalui Messenger.
