Siakap Keli
Gambar: Bernama

Tubuh Ibu Dikerat 15, Gara-gara Tak Puas Hati Pembahagian Harta Pusaka Ayah

Parit Buntar – Seorang lelaki berumur 42 tahun ditahan kerana disyaki membunuh dan mengerat 15 bahagian badan ibunya gara-gara tidak puas hari tentang pembahagian harta pusaka.

Ketua Polis Perak, Dato’ Pahlawan Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya menerima laporan mengenai penemuan potongan-potongan daging menyerupai anggota badan manusia pada 3:30 petang kelmarin.

Menurutnya, potongan daging mayat mangsa berusia 68 tahun itu ditemui di dalam sebuah tangki kumbahan di sebuah rumah di Taman Kerian.

“Sepasukan pegawai dan anggota bahagian siasatan jenayah IPD Kerian dengan dibantu Unit Forensik  Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak telah hadir ke tempat kejadian.

“(Dan mereka) menemukan 15 keratan bahagian tubuh badan mayat yang telah dipotong,” katanya dalam satu kenyataan pada semalam.

Susulan kejadian itu, satu tangkapan telah dilakukan ke atas seorang suspek yang merupakan anak lelaki kepada mangsa.

Difahamkan, mangsa tinggal berdua bersama suspek di rumah tersebut sejak 12 tahun lalu selepas suaminya meninggal dunia.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berpunca dari rasa tidak puas hati suspek berkenaan dengan pembahagian harta pusaka mendiang bapa suspek,” katanya lagi.

Dalam pada itu, pihak polis turut merampas sebilah parang, dua bilah pisau serta barang-barang yang digunakan oleh suspek bagi pembunuhan tersebut.

Sehubungan itu, suspek telah ditahan bagi membantu siasatan dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sumber: Polis Perak 

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?