Siakap Keli
Gambar: Newsweek

Pemuda 22 Tahun Ditahan, Seludup 10kg Kokain Guna Kerusi Roda

Pihak berkuasa lapangan terbang Charlotte, Carolina Utara dilaporkan telah merampas lebih 10kg kokain yang disembunyikan di dalam sebuah kerusi roda elektrik, lapor portal Newsweek.

Menurut Pegawai Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat, seorang penumpang yang menggunakan kerusi roda elektrik itu ditemui semasa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Charlotte Douglas pada hari Selasa lalu.

Suspek yang berusia 22 tahun itu dilaporkan tiba dari penerbangan daripada Republik Dominican ketika ditemui oleh salah seorang pegawai CBP.

Selepas pemeriksaan lanjut terhadap kerusi roda yang digunakannya, pegawai CBP telah menemui bungkusan yang tersembunyi di dalam kusyen tempat duduk. Bahan itu telah diuji dan disahkan positif kokain, kata pegawai.

Pegawai tersebut telah menemui sejumlah empat bungkusan yang mengandungi lebih 23 paun kokain di mana anggaran nilai dadah tersebut berjumlah $378,000, menurut pegawai.

“Rampasan ini menunjukkan persekitaran sempadan yang dinamik di mana pegawai CBP beroperasi di CLT,” kata Pengarah Pelabuhan Kawasan CBP Charlotte Barry Chastain.

“Pegawai kami bertekad untuk menyesuaikan diri dan bertindak balas terhadap ancaman ini dalam usaha untuk menghentikan narkotik sampai kepada komuniti kami.”

Suspek telah ditahan oleh pegawai CBP dan didakwa dengan jenayah mengedar kokain. Kokain yang dirampas juga telah diserahkan kepada beberapa agensi untuk siasatan lanjut.

Pada tahun fiskal 2022, pegawai CBP telah berjaya merampas lebih daripada 34,700 paun kokain di Amerika Syarikat. CBP juga melaporkan telah merampas lebih daripada 100,000 paun Methamphetamine dan 89,300 paun ganja.

Pada tahun 2021, pegawai CBP merampas sejumlah 914,000 paun dadah haram, termasuk hampir 97,000 paun kokain. Pada tahun 2020, CBP merampas lebih daripada 1.1 juta paun dadah haram, termasuk 58,000 paun kokain.

Sumber: Newsweek.com

Nurlizah Khazani