Mantan Mufti Wilayah, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al- Bakri dijemput oleh Malaysian Football League (MFL) untuk menonton perlawanan bola sepak di Stadium Nasional Bukit Jalil pada malam ini.
Menerusi satu kenyataan di Facebook, bekas menteri di jabatan perdana menteri (hal ehwal agama) itu memaklumkan, jemputan tersebut disampaikan oleh presiden MFL sendiri.
“Saya amat menghargai jemputan yang disampaikan oleh Dato’ Ab Ghani Hassan, Presiden Malaysian Football League untuk menyaksikan Perlawanan Kelayakan Piala ASIA AFC Peringkat Kumpulan yang mempertemukan Malaysia dan Turkmenistan pada jam 9 malam ini,” tulisnya.
Sebelum ini, persatuan itu pernah merujuk Dr. Zulkifli mengenai penambahbaikan pengurusan perlawanan, khususnya yang melibatkan hal ehwal agama.
“MFL ada merujuk kepada saya untuk beberapa polisi penambahbaikan pengurusan terutamanya laungan azan diikuti pemain berhenti seketika menghormati azan dan penyediaan ruang solat khas bagi acara yang berskala besar.
“Alhamdulillah, ia dilaksanakan dengan segera dan amat baik.
“Atas semangat kerjasama ini, saya berbesar hati menerima jemputan MFL. Kita jumpa malam ini di Stadium Nasional Bukit Jalil. Kita sambut ngauman #HarimauMalaya!,” ucapnya di Facebook.
Malam ini bakal menyaksikan Malaysia ‘turun padang’ menentang Turkmenistan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada jam 9 malam.