Gara-gara tak siapkan kerja sekolah, seorang ibu di India dilaporkan tergamak mengikat kaki dan tangan anak perempuannya yang berusia lima tahun serta ‘menjemur’ kanak-kanak itu di bawah panas terik matahari.
Memetik laporan India Today, tindakan itu dilakukan sebagai hukuman kerana tak siapkan kerja sekolah terhadap kanak-kanak tersebut.
Pihak polis telah menjalankan siasatan selepas video kejadian itu tular di media sosial sejak beberapa hari yang lalu.
Difahamkan, kejadian itu telah berlaku di Khajuri Khas, Tukmirpur, Delhi.
Menerusi video yang tular, kanak-kanak perempuan itu dilihat berada dalam keadaan terbaring di atas bumbung rumah dengan tangan diikat.
Dia juga menjerit kesakitan dan bergelut untuk melepaskan diri kerana cuaca yang terlalu panas.
Keadaan itu juga menyebabkan kulitnya kelihatan melecur.
Sementara itu, ibu kepada kanak-kanak terbabit berkata bahawa dia terpaksa menghukum anaknya selama lima hingga tujuh minit kerana tidak menyiapkan kerja sekolah.
Selepas video tersebut tular, polis Delhi memaklumkan bahawa tindakan sewajarnya telah diambil.
“Selepas video seorang kanak-kanak perempuan yang diikat di atas bumbung rumah tular di media sosial, semua usaha telah dilakukan oleh Polis Delhi untuk mengenalpasti identiti dan keadaan mangsa.
“Keluarga kanak-kanak itu telah dikenal pasti dan tidakan sewajarnya telah diambil,” kata Polis Delhi.
Sumber: India Today