Sama ada anda boleh menerimanya atau tidak, realitinya nilai RM1.37 untuk 1000 liter tersebut adalah merujuk kepada purata harga air bersih yang dibekalkan kepada pengguna domestik di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan. Ya, air bersih yang kita gunakan untuk menyediakan makanan, mandi, membasuh dan segala macam keperluan harian setiap hari.’
Tak mungkin ianya merujuk kepada harga minyak kenderaan kerana harga 1 liter minyak RON97 pun dah melebihi nilai tersebut. Air kopi di kafe hipster pun jauh dari nilai tersebut.
Memang tidak dinafikan, ramai antara kita yang tahu bahawa air bersih sangat penting dalam kehidupan seharian seperti memasak, membasuh pakaian, mandi dan sebagainya. Dalam hal ini, operator bekalan air perlu memastikan bekalan air yang berterusan dapat dibekalkan. Operator air memerlukan tarif air yang mampan dalam melaksanakan kewajipan mereka bagi membekalkan air yang selamat dan berterusan kepada pengguna.

Sejak kebelakangan ini, kita sering kali mendengar isu-isu berkaitan gangguan bekalan air yang menjejaskan kehidupan seharian kita. Hal ini berlaku antaranya disebabkan oleh pencemaran sungai oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, kebocoran paip dan kerosakan peralatan yang menyebabkan air bersih tidak dapat dibekalkan kepada pengguna.
Oleh yang demikian, pelarasan tarif air melalui Mekanisme Penetapan Tarif perlu dilaksanakan supaya operator air mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh dan seterusnya dapat menangani isu-isu berkaitan gangguan bekalan air. Namun, berbaloikah pelarasan tarif air kepada pengguna?
Apakah Mekanisme Penetapan Tarif Air?
Mekanisme Penetapan Tarif adalah suatu mekanisme yang digunakan untuk penetapan tarif oleh semua operator air di Semenanjung Malaysia dan WP Labuan. Dengan pelaksanaan mekanisme ini, hanya kos yang berkaitan dan terlibat secara langsung dalam perkhidmatan bekalan air dibenarkan untuk diambil kira dalam penetapan tarif.
Semua negeri akan mempunyai struktur tarif yang sama dan seterusnya kaedah pengiraan tarif juga akan dibuat secara lebih sistematik dengan mengambil kira keperluan operator masing-masing.
Kenapakah Pelarasan Tarif Air 1,000 Liter Diperlukan?
Topik pelarasan tarif bukanlah satu topik yang popular untuk dibincangkan. Namun, pelarasan tarif air ini perlu diberi perhatian supaya pembekalan air yang bersih dan berterusan dapat dibekalkan.
Antara faktor-faktor yang mendorong kepada pelarasan tarif adalah disebabkan tarif air bagi beberapa negeri tidak disemak melebihi 20 tahun iaitu Perlis (26 tahun) dan Pahang (39 tahun). Ini menyebabkan negeri-negeri ini berhadapan dengan kedudukan kewangan defisit dan tidak berupaya untuk memenuhi obligasinya dalam membekalkan air yang bersih dan berterusan.
Berdasarkan data Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) 2020, purata tarif semasa yang dicajkan kepada pengguna iaitu RM1.37 bagi setiap meter padu di Semenanjung Malaysia dan WP Labuan adalah lebih rendah berbanding purata kos pembekalan air iaitu RM1.68 bagi setiap meter padu.
Dengan tarif air yang rendah, operator air tidak dapat mengimbangi peningkatan kos operasi seperti kos elektrik, bahan kimia dan penyenggaraan. Apatah lagi bagi menampung kos perbelanjaan modal (Capex) untuk pembangunan infrastruktur sistem bekalan air di negeri masing-masing.
Apakah Manfaat Pelarasan Tarif Air?

Dengan pelarasan tarif air, pengguna akan dapat menikmati tahap dan kualiti perkhidmatan yang bertambah baik. Melalui pembangunan infrastruktur, sistem bekalan air baharu dapat dibina. Sistem sedia ada dapat ditambah baik serta pembinaan sistem agihan baharu dapat dilaksanakan.
Dengan ini, operator air dapat meningkatkan rizab margin dan seterusnya memenuhi permintaan pengguna. Dari aspek pengoperasian sistem bekalan air pula, penyenggaraan berkala dapat dilaksanakan sekali gus menyumbang kepada kualiti air. Agar ia menepati piawaian Kementerian Kesihatan Malaysia serta penurunan risiko gangguan bekalan air.
Adakah Pelarasan Tarif Air Membebankan Pengguna?
Melalui mekanisme penetapan tarif, SPAN dan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah mengambil inisiatif untuk menyemak tarif air. Ianya secara berperingkat yang mana kenaikan adalah kecil dan tidak membebankan pengguna. Selain itu, pengguna juga diseru untuk menggunakan air secara berhemat agar peningkatan bil air dapat diminimakan.
Atas keprihatinan Kerajaan kepada rakyat, terdapat mekanisme yang perlu dilaksanakan. Dilakukan oleh operator air dalam memberikan bantuan secara bersasar kepada golongan B40. Manakala bagi pengguna komersial atau industri, mereka digalakkan untuk menggunakan alat/produk cekap air. Dan, mengitar semula air bagi meminimumkan implikasi pelarasan tarif.
Dengan penjelasan ini, jelaslah bahawa pelarasan tarif air bukan untuk membebankan kita. Namun demikian, ianya dilakukan demi memperoleh perkhidmatan yang lebih berkualiti dan secara berterusan pada masa akan datang.