Penantian 42 tahun Malaysia untuk sekali ke kejohanan Piala Asia secara merit berakhir apabila sah layak ke kejohanan tersebut tahun depan selepas membenam cabaran Bangladesh 4-1 sebentar tadi.
Tampil dengan aksi penuh bertenaga dan menekan pihak lawan seawal minit pertama, Malaysia selesa mendahului perlawanan melalui sepak penalti yang disempurnakan oleh Syafawi Rashid pada minit ke-16. Bagaimanapun, pasukan lawan berjaya menyamakan kedudukan pada minit 31 melalui hantaran ke dalam sebelum dan disudahkan dengan satu tandukan tajam.
Tidak berdiam diri dan mahu memastikan misi ke Piala Asia tidak kecundang begitu sahaja, para pemain di atas padang terus memberikan seratus peratus dan mendapat hasilnya apabila sekali lagi mendahului perlawanan pada minit 38 hasil rembatan kencang pemian pertahanan, Dion Cools.
Mendahului 2-1, skuad Harimau Malaya selepas itu berjaya mengekalkan kelebihan satu gol sehingga tamat separuh masa pertama. Tanpa berlengah, sebaik sahaja bermulanya separuh masa kedua, Malaysia melancarkan serangan bertubi-tubi dan berjaya mendapat gol ketiga dua minit kemudian hasil jaringan Syafiq Ahmad.
Bagaimanapun, Bangladesh turut sesekali melancarkan serangan biarpun dilihat begitu tertekan menyerap asakan dan serangan pemain kebangsaan. Salah satunya detik mencemaskan penjaga gawang negara menyelamatkan cubaan jarat dekat penyerang lawan.
Namun begitu, Malaysia berjaya melebarkan lagi beza jaringan sekaligus menoktahkan kemenangan apabila pemain gantian, Darren Lok berjaya menjaringkan gol keempat negara pada minit 73. Malaysia selepas itu kekal fokus dan meneruskan pemburuan gol bagaimanapun skor 4-1 kekal sehingga wisel penamat ditiup.
Gegak gempita seluruh stadium selepas itu meraikan kejayaan negara mara beraksi di pentas Piala Asia buat kali keempat, kali terakhir secara merit adalah pada 1980. Pada 2007, Malaysia turut tampil dalam kejohanan tersebut, namun selaku tuan rumah.
Tahniah Harimau Malaya, anda kebanggaan kami semua.
Sumber: FAM