Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) ditutup mulai esok, 15 Jun berikutan kerja-kerja baik pulih dan penambahbaikan yang bakal dijalankan.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kualiti serta keadaan fasiliti di stadium tersebut tidak boleh dipandang enteng ekoran ia melibatkan maruah negara.
“KBS memandang serius terhadap isu kualiti padang serta fasiliti SNBJ dan tidak boleh terus memperjudikan maruah negara dengan melengahkan lagi tindakan yang sewajarnya.
“Isu kualiti padang serta fasilitnya adalah isu legasi yang harus ditangani secara pantas dan tuntas,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, jelas Faizal, tindakan penutupan stadium tersebut sepatutnya dilakukan pada tahun depan, namun ia terpaksa diawalkan berikutan keadaan semasa.
“Perancangan awal KBS adalah menutup Stadium Nasional pada penghujung Mac 2023 untuk memulakan kerja-kerja baik pulih namun keadaan semasa memerlukan tindakan yang lebih segera.
“Keperluan baik pulih dan penambahbaikan adalah amat mendesak dan tidak boleh ditangguhkan.
“Dengan ini, KBS ingin memaklumkan bahawa SNBJ akan ditutup mulai Rabu, 15 Jun 2022 bagi kerja baik pulih dimulakan,” katanya lagi.
