Siakap Keli
Viking clap

Meremang, “Viking Clap” Ultras Malaya Dengan Pemain Kebangsaan Gamatkan Stadium

Viking Thunder Clap atau Viking Clap merupakan nyanyian atau sorakan bola sepak yang dipersembahkan dengan teriakan dan sorakan yang kuat.

Ia telah dilakukan oleh beberapa kelab peminat dan terkenal pada UEFA Euro 2016 apabila pasukan kebangsaan Iceland memperkenalkan ‘viking clap’ atau ‘volcano clap’ dengan sorakan ‘huh’.

Semasa Piala Dunia FIFA 2018 apabila Iceland menjadi salah satu pasukan yang mengambil bahagian, tepukan itu sekali lagi mendapat perhatian orang ramai. Viking Thunder Clap juga telah diterima pakai oleh banyak negara di seluruh dunia.

Tidak melepaskan peluang di atas kemenangan yang diraih oleh pasukan Harimau Malaya dari Malaysia, Ultras Malaya turut melalukan Viking Clap ini bersama-sama dengan pemain pasukan kebangsaan. Ia sebagai keraian selepas Malaysia menamatkan penantian 42 tahun untuk mara ke Piala Asia secara merit.

Malaysia sekali lagi layak ke kejohanan Piala Asia selepas muncul antara lima pasukan naib juara terbaik apabila berjaya menumpaskan Bangladesh dengan kemenangan 4-1 dalam perlawanan yang berlangsung sebentar tadi.

Tampil dengan ‘ngauman’ penuh bertenaga memberikan tekanan pada pihak lawan seawal minit pertama. Gol pertama dipersembahkan oleh Syafawi Rashid dalam sepakan penalti pada minit ke-16.

Bagaimanapun, pasukan lawan berjaya menyamakan kedudukan pada minit 31 melalui hantaran ke dalam sebelum dan disudahkan dengan satu tandukan tajam.

Namun, pasukan Harimau Malaya tidak hanya berdiam diri, sekali lagi mendahului perlawanan dengan rembatan kencang dari Dion Cools pada minit ke-38, menamatkan separuh masa pertama dengan skor 2-1.

Serangan demi serangan diberikan, Malaysia sekali lagi berjaya menjaringkan gol setelah dua minit perlawanan separuh masa kedua bermula hasil sumbangan Syafiq Ahmad. Darren Lok yang masuk sebagai pemain gantian juga tidak melepaskan peluang untuk menjaringkan gol dalam 20 minit terakhir perlawanan dan skor 4-1 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.

Tahniah Harimau Malaya, anda kebanggaan kami semua.

Sumber: Toon Army Malaysia

Faiz Mustafa