Siakap Keli
faizal azumu bersikap positif
Gambar: Bernama/ Faizal Azumu

“Nasihat Yang Amat Baik…,” Faizal Azumu Bersikap Positif, Terima Teguran Dari ‘Fans’ Malaysia

‘Ditegur’ penyokong Harimau Malaya, Faizal Azumu bersikap positif, berterima kasih kepada semua penyokong.

Semalam menjadi detik bermakna buat arena sukan bola sepak negara apabila berjaya layak secara merit ke Piala Asia 2023 selepas menumpaskan Bangladesh 4-1 dalam aksi terakhir kumpulan E.

Kejayaan itu sekaligus menamatkan penantian negara selama lebih empat dekad untuk layak ke pertandingan tersebut.

Turut mencuri tumpuan adalah kehadiran 52,964 penyokong Malaysia yang memenuhi Stadium Nasional Bukit Jalil pada perlawanan yang penuh bermakna itu.

Sorakan gegap gempita ‘pemain ke-12’ itu memenuhi segenap ruang di dalam stadium tersebut dan membangkitkan semangat pasukan negara untuk terus mempamerkan aksi cemerlang.

Dalam pada itu, mereka juga turut menyuarakan kata-kata semangat melalui pelbagai kain rentang yang menarik serta tifo gergasi yang berkibar di stadium tersebut.

Bagaimanapun, salah satu kain rentang yang dinaikkan oleh para penyokong mendapat perhatian ramai apabila ia ditujukan khas kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Menerusi beberapa foto yang dikongsikan di media sosial, kain rentang tersebut tertera “Peja jgn sap gam!!”.

Hal ini ekoran daripada kenyataan ‘panas’ yang disuarakan oleh beliau selepas Malaysia tumpas di tangan Bahrain telah membuatkan ramai peminat bola sepak tanah air tidak berpuas hati dengannya.

Walaupun kain rentang tersebut bersifat negatif, namun Faizal Azumu tidak cepat melenting dan mengambilnya sebagai satu nasihat yang baik.

Menerusi ciapan di Twitter, Faizal berterima kasih kepada penyokong yang memberikan nasihat tersebut kepadanya.

“Nasihat yang amat baik kepada saya dan kepada semua! Terima kasih! Semoga Allah berkati segala kebaikan kita” katanya.

Terdahulu, bekas Menteri Besar Perak itu membuat permohonan maaf susulan kenyataannya berhubung sorakan pemain ke-12 skuad Harimau Malaya yang dikatakan menjadi punca kekalahan Malaysia di tangan Bahrain Sabtu lepas, lapor Bernama.

“Saya rasa saya perlu memohon maaf kepada semua peminat. Saya juga seorang daripada peminat dan saya kira yang penting sekarang ini ialah untuk terus beri sokongan kepada pasukan kita tanpa berbelah bahagi,” katanya.

Sumber: Faizal Azumu

Sofea

There's always another side to every story

Siakap Keli

Berita sejurus ia berlaku? Itulah saya....