Baru-baru ini tular di Indonesia mengenai satu video yang memaparkan detik-detik cemas sebuah kereta hilang kawalan dan merempuh seorang kanak-kanak di tempat cuci kereta.
Menurut Suara.com, kejadian yang berlaku di kawasan Cibubur, Ciracas, Jakarta Timur itu juga turut mengakibatkan dua orang dewasa menjadi mangsa.
Kejadian itu dipercayai telah dirakam kamera CCTV dan video tersebut telah menjadi tular di media sosial.
“Didakwa kerana panik pemandu tersalah tekan pedal minyak. Lokasinya di kawasan cucian kereta kawasan Cibubur, Ciracas, Jakarta Timur,” tulis seorang pengguna Instagram.
Menerusi video itu, kelihatan sebuah kenderaan SUV berwarna merah pada awalnya tampak seakan-akan ingin parkir di tempat cuci kereta tersebut.
Pun begitu, pemandu kereta terbabit dipercayai telah memijak pedal minyak dan melanggar seorang kanak-kanak serta dua wanita yang sedang menunggu di situ.
Kerusi dan meja juga kelihatan berselerak akibat rempuhan itu. Tidak lama kemudian, kelihatan orang ramai menghampiri kereta merah itu.
Sementara itu, dua wanita yang dilanggar dilihat masih boleh bangun berjalan dan salah seorang daripada mereka menggendong kanak-kanak tersebut.
Ketua Polis Ciracas Kompol Jupriono berkata pihaknya akan menyiasat lebih lanjut mengenai kes itu.
“Saya periksa dulu,” katanya ringkas ketika dihubungi Suara.com.
Bagaimanapun, dia tidak mengetahui lokasi dan masa sebenar kemalangan itu berlaku serta keadaan mangsa juga tidak dapat dipastikan, lapor Detik News.
“Saya semak semula, ia bukan di kawasan saya sebenarnya. Saya masih menyemak untuk kepastian,” ujarnya lagi.
View this post on Instagram
Sumber: Suara.com, Detik News