Siakap Keli
dirempuh kereta di stesen minyak

Wanita Cedera Dirempuh Kereta Di Kaunter Stesen Minyak, Pemandu Akui Tersalah Tekan Pedal

Seorang wanita dilapor mengalami cedera ringan selepas dirempuh kereta di sebuah stesen minyak di Jalan Sin On, Tawau pada Ahad lalu.

Memetik laporan Sinar Harian, kejadian tersebut dipercayai berlaku disebabkan pemandu kenderaan terbabit tersalah tekan pedal minyak sehingga merempuh mangsa yang berusia 52 tahun.

Hasil maklumat yang diperolehi pihak Polis Daerah Tawau, kenderaan jenis Proton Exora itu dipandu oleh seorang wanita berusia 54 tahun.

“Kejadian berlaku ketika pemandu kenderaan yang dikatakan dalam perjalanan dari Kampung Ranggu menuju ke Kampung Muhibbah telah singgah ke stesen minyak terbabit untuk mengisi minyak.

“Selepas selesai mengisi minyak, pemandu berkenaan menghidupkan kenderaannya dan menekan pedal minyak yang disangka pedal brek.

“Ia seterusnya menyebabkan kenderaan terbabit meluncur laju lalu merempuh dinding kaunter serta seorang wanita yang kebetulan berada di kaunter pembayaran,” kata Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin.

Menurutnya lagi, dinding kaunter juga telah retak akibat rempuhan tersebut.

Bagaimanapun, pemandu itu tidak mengalami kecederaan namun kenderaannya rosak di bahagian hadapan.

“Wanita yang dilanggar pula mengalami luka di bahagian kaki sebelah kanan.

“Hasil siasatan mendapati pemandu warga asing itu tidak mempunyai lesen memandu,” katanya.

Kes itu masih lagi berada dalam siasatan polis dan disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, video kejadian yang menyaksikan seorang wanita dirempuh di kaunter stesen minyak tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi dari netizen.

Sumber: Sinar Harian

Sofea

Iqra'.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.